Lelaki maut kemalangan tiga kenderaan - Utusan Malaysia

Lelaki maut kemalangan tiga kenderaan

KEADAAN kereta yang terbakar setelah terlibat kemalangan dengan dua buah lori di Kilometer 316.3, Lebuh Raya Utara- Selatan arah utara di Tapah hari ini. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Seorang lelaki maut selepas tercampak keluar daripada kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 316.3, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini pagi tadi.

 

Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, mangsa, Tan Ying Ming, 54, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala.

 

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ketika kejadian, mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Innova dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Ipoh.

 

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan itu telah melanggar bahagian belakang sebuah lori muatan buah-buahan yang menuju ke arah yang sama di lorong kiri.

 

“Selepas pelanggaran itu, MPV dipandu mangsa telah terbabas ke lorong kanan dan dilanggar pula oleh lori muatan ayam.

 

“Dalam kemalangan itu, mangsa yang tercampak keluar dari kereta mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

 

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat. Dua pemandu lori tidak cedera,” katanya.

 

Katanya, akibat pelanggaran itu, kereta mangsa terbakar pada keseluruhan bahagian manakala lori muatan ayam pula terbakar di bahagian hadapan.

 

“Kenderaan terlibat dalam nahas itu ditahan bagi tujuan pemeriksaan Puspakom dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN