Kurang penumpang, pemandu teksi buka gerai jual buah - Utusan Malaysia

Kurang penumpang, pemandu teksi buka gerai jual buah

AZMAN Nasir menunjukkan buah-buahan yang dijual di gerai miliknya di Nilai 3, Nilai, Seremban. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Berbekalkan wang bantuan perubatan yang diterima isterinya yang menghidap kanser, seorang pemandu teksi terpaksa menggunakannya untuk memulakan perniagaan buah-buahan bagi menampung kehidupan mereka.

Azman Nasir, 53, dan isterinya, Roseleena Abu Bakar, 51 yang tinggal di Taman Desaria, Nilai dekat sini sebelum itu pernah berniaga di pasar malam dengan menjual barangan terpakai.

Namun selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dia menggunakan wang hasil jualan tersebut untuk membeli buah-buahan.

“Ketika itu, penumpang teksi tidak ramai dan saya perlu memikirkan cara bagi menampung kehidupan dan kos perubatan isteri. Kemudian, isteri ada mendapat bantuan perubatan sebanyak RM8,000 dan daripada situ memulakan perniagaan menjual buah-buahan di sebuah gerai di Pasar Awam Nilai 3.

“Saya memandu teksi eksekutif jenis Toyota Innova di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) namun pendapatan terganggu ketika PKP. Saya menggunakan teksi ini untuk menghantar pesanan buah-buahan dari rumah ke rumah sebelum menyewa di pasar ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Azman berkata, idea untuk menjual buah-buahan itu bermula apabila dia menjual durian yang diambil dari Raub, Pahang menggunakan teksinya dan menghantar setiap pesanan pembeli dari rumah ke rumah.

“Bagaimanapun, selepas selesai musim durian, saya mengambil buah-buahan dari kampung di Muar, Johor dan mempromosi dan mengambil tempahan melalui aplikasi WhatsApp. Alhamdullilah pendapatan agak baik dan daripada situ saya mula membuka gerai buah di Pasar Awam Nilai 3 ini,” katanya.

Dalam pada itu, dia menjelaskan, perniagaan menjual buah-buahan tempatan segar sememangnya agak berisiko kerana ada buah-buahan yang mudah rosak.

“Ada juga buah-buahan yang mudah rosak dan saya terpaksa menanggung kerugian, bagaimanapun saya bersyukur tetap ada rezeki dan alhamdullilah kawasan Nilai 3 ini juga sudah dipenuhi orang ramai selepas kebenaran rentas negeri baru-baru ini.

“Saya juga sudah ada pelanggan tetap yang sering mendapatkan buah-buahan di gerai saya ini. Saya menjual buah betik, jambu air, jambu batu, buah mata kucing dan pisang dan pelbagai lagi,” katanya yang masih menjalankan pekerjaan sebagai pemandu teksi. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN