Kukuhkan kewangan TNB, beri pulangan setimpal kepada rakyat  - Utusan Malaysia

Kukuhkan kewangan TNB, beri pulangan setimpal kepada rakyat 

Pengerusi baharu TNB, Dato’ Sri Hasan Arifin (kiri) mendengar taklimat daripada Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir. Baharin Din ketika meghadiri mesyuarat khas bersama pengurusan tertinggi TNB pada hari pertama beliau di Ibu Pejabat TNB, Bangsar. - Ihsan TNB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan terus menyeimbangkan kepentingan industri dan peranannya sebagai syarikat tersenarai yang memberikan pulangan setimpal kepada rakyat menerusi syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC).

Pengerusinya, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, TNB berupaya memberikan pulangan dividen yang adil dan berpatutan kepada para pelabur termasuk GLIC seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad. 

“Kita bertanggungjawab kepada para pemegang saham, lebih-lebih lagi kepada institusi pelabur yang pulangan kepada mereka akhirnya dinikmati oleh rakyat.

“Bagi 2018 hingga 2020, TNB telah membayar dividen berjumlah RM9.9 billion kepada para pemegang sahamnya dan RM7 billion lagi kepada GLIC. Itu satu jumlah besar dan besar manfaatnya kepada rakyat,” katanya dalam pertemuan pertamanya dengan barisan pengurusan tertinggi TNB, semalam.

Hasan dilantik menjadi pengerusi TNB pada 1 Oktober lalu bagi menggantikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang dilantik menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Dalam pertemuan tersebut, beliau diberikan taklimat oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din mengenai prestasi TNB merangkumi pencapaian sepanjang lebih 72 tahun, pelaksanaan aspirasi Reimagining TNB, Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), komitmen hala tuju kelestarian dan cabaran pandemik serta cabaran-cabaran baru masa depan.

Hasan berpuas hati dengan peranan dan sumbangan TNB terhadap pembangunan negara serta yakin kecemerlangan itu mampu diteruskan dengan Malaysia kini mempunyai infrastruktur bertaraf dunia hasil daripada pelaburan modal sistem perbekalan elektrik yang berterusan.

Menurut beliau, pada masa yang sama, TNB juga akan terus mendukung pertumbuhan dan usaha pemulihan ekonomi negara menerusi perbekalan elektrik berdaya harap, mencorak semula ekonomi melalui inisiatif transformasi industri tenaga dan membantu golongan sasaran yang memerlukan.

“Dalam senario ekonomi Malaysia yang masih dalam fasa pemulihan daripada cabaran wabak Covid-19, TNB perlu teguh dari segi kewangan bagi meneruskan usaha ini.

“Saya dimaklumkan TNB merupakan antara pihak swasta terawal tampil membantu kerajaan menangani pandemik Covid-19 dan menyumbang sejumlah RM21 bilion pada 2018 hingga 2020 kepada ekonomi dalam pelbagai bentuk termasuk dividen, kontrak kepada vendor, cukai, zakat, CSR dan bantuan Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN