KPM rancang bina sekolah berhampiran tokong di Salak Selatan sejak 2017 - Utusan Malaysia

KPM rancang bina sekolah berhampiran tokong di Salak Selatan sejak 2017

ANTARA tangkap layar video tular menunjukkan anggota polis diserang dalam kejadian di Sungai Besi, Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan perancangan untuk membina sekolah berhampiran sebuah tokong di Salak Selatan, Cheras sudah dilakukan sejak tahun 2017 lagi.

 

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, kajian mendapati tanah rizab sekolah tersebut adalah satu-satunya lokasi yang paling strategik untuk projek pembinaan sekolah menengah baharu itu.

 

Beliau berkata, kebajikan dan keperluan murid-murid sentiasa menjadi keutamaan KPM dalam projek pembinaan sesebuah sekolah baharu.

 

“Pembinaan sekolah menengah baharu di tapak tersebut dapat memanfaatkan keluarga daripada 7,000 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang berhampiran sekali gus menjimatkan kos pengangkutan, masa dan bebanan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

 

Katanya, insiden konflik yang tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu mencetuskan polemik dan provokasi, bahkan terpesong daripada fakta sebenar. 

 

Hang Soon berkata, pencetusan isu yang akan menimbulkan kegusaran dan menggugat ketenteraman awam haruslah dielakkan.

 

Menurutnya, beliau merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Tokong Wong Low Shen See Chee How, Yap Chee Fong atas permohonan maaf dan penjelasan ke atas insiden konflik yang berlaku pada 28 September lalu.

 

“Ia tidak berkaitan dengan keagamaan dan perkauman. Saya juga menyeru semua pihak untuk meneliti insiden ini secara menyeluruh dan rasional demi kesejahteraan bersama. 

 

“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak tokong yang berjanji serta komited untuk menyerahkan kunci pagar bagi memudahkan kerja-kerja yang selanjutnya,” katanya.

 

Sebelum ini, polis mengesahkan sudah menahan  24 individu bagi membantu siasatan rusuhan di hadapan tokong berkenaan, baru-baru ini termasuk tindakan menyerang anggota penguat kuasa. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN