Kampung Bukit Tarek tiada rekod dalam Jupem? - Utusan Malaysia

Kampung Bukit Tarek tiada rekod dalam Jupem?

Penduduk kampung menggunakan jana kuasa untuk kegunaan harian di Kampung Melayu Bukit Tarek yang tiada infrastruktur asas seperti elektrik, air, dan jalan raya. – utusan/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kampung Melayu Bukit Tarek dalam mukim Ulu Yam dimaklumkan pernah tiada di dalam rekod Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).

Menjelaskan perkara itu, Setiausaha Jawatankuasa Bertindak kampung tersebut, Shamsiah Mohamad berkata, perkara itu diketahui sewaktu beliau cuba mendapatkan kedudukan tanah tersebut daripada pihak berkenaan.

“Waktu itu saya pergi ke Jupem pada 2017, saya cuba minta kedudukan tanah tapi Jupem kata tiada dalam rekod, saya betul-betul terkejut.

“Macam mana boleh tiada dalam rekod sedangkan kami semua ada geran? Geran kami semua dapat pada 2006. Ini sudah berapa lama, tetapi kawasan Bukit Tarek masih tiada dalam geran,” soalnya lagi.

Shamsiah berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana Kampung Melayu Bukit Tarek terletak bersebelahan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dan dekat dengan pelbagai kemudahan seperti hospital dan bank.

Malangnya, kira-kira 300 penduduk yang masih mendiami tanah-tanah lot di situ tidak menikmati kemudahan asas seperti elektrik, air dan jalan raya.

Menjelaskan perkara itu, Shamsiah berkata, jarak kampung berkenaan hanya lima kilometer (km) dari Bukit Beruntung dan kira-kira 58 km ke Kuala Lumpur.

“Hari ini, penduduk di kawasan Bukit Tarek masih menggunakan mesin penjana kuasa, bateri kereta dan panel solar untuk bekalan elektrik, air hujan pula kita tadah untuk kegunaan harian.

“Kita sudah alami keadaan ini 30 tahun lamanya, kalau premis berdekatan Sungai Selangor boleh mempunyai bekalan elektrik, kenapa di Bukit Tarek ini boleh tidak mendapat apa-apa? Bantulah kami,” katanya lagi.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau telah meminta pegawai kementerian itu untuk melihat masalah yang dihadapi oleh penduduk berkenaan.

Katanya, beliau juga akan bertemu dengan penduduk di situ dalam masa terdekat.

Beliau memberi jaminan 300 penduduk di situ bakal menerima berita gembira yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

Selain Mahdzir, isu itu juga mendapat perhatian Kementerian Alam Sekitar dan Air apabila menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man akan membawa isu itu ke pengetahuan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN