fbpx

28 November 2021, 7:08 am

  TERKINI

Jurutera tentera AS cuba jual maklumat reka bentuk kapal selam

GAMBAR dirakam pada November 2009 menunjukkan kapal selam kelas Virginia New Mexico (SSN 779) menjalani latihan di Lautan Atlantik. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Seorang jurutera nuklear Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) didakwa cuba menjual maklumat mengenai reka bentuk kapal selam nuklear kepada pihak yang dipercayai wakil dari sebuah negara asing.

Bagaimanapun, Jabatan Keadilan AS memaklumkan penerima maklumat itu sebenarnya merupakan ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang sedang melakukan penyamaran.

Dalam aduan jenayah yang memperincikan tuduhan pengintipan terhadap Jonathan Toebbe, kerajaan memaklumkan Toebbe menjual maklumat itu hampir setahun lalu kepada individu yang diyakini merupakan wakil dari negara asing.

Nama negara itu tidak dinyatakan dalam dokumen mahkamah berkenaan.

Toebbe, 42, ditahan bersama isterinya, Diana, 45, di West Virginia pada Sabtu lalu.

Menurut Jabatan Keadilan AS, pasangan suami isteri itu ditahan selepas Toebbe meninggalkan kad memori di lokasi yang ditetapkan sebelum ini.

Menurut FBI, Toebbe pada April tahun lalu mengirimkan sebuah bungkusan yang mengandungi dokumen tentera laut AS kepada sebuah kerajaan asing.

Jelasnya, Toebbe juga menyatakan dia berminat menjual manual operasi, laporan prestasi dan maklumat rahsia lain kepada negara berkenaan.    

Pihak berkuasa memaklumkan Toebbe juga memberi arahan mengenai bagaimana untuk menjalinkan hubungan rahsia. 

Bungkusan itu diperolehi FBI pada Disember tahun lalu menerusi pejabatnya di negara asing yang tidak dinyatakan dan dokumen mahkamah tidak menjelaskan bagaimana FBI menerima bungkusan tersebut atau dari siapa.

Dilaporkan, seorang ejen FBI yang menyamar sebagai wakil negara asing menjalin hubungan dengan Toebbe dan bersetuju untuk membayar ribuan dollar dalam mata wang kripto bagi maklumat ditawarkan.

Jelas FBI, selepas mengirim dan membalas emel selama beberapa minggu, ejen itu kemudian menghantar dana dalam mata wang kripto berjumlah AS$10,000 (RM41,696)  kepada Toebbe.

Beberapa minggu kemudian, FBI menyaksikan Toebbe tiba di lokasi yang ditetapkan di West Virginia untuk pertukaran antara kedua-dua pihak sambil isterinya memantau keadaan.

Berdasarkan dokumen mahkamah, FBI memperoleh kad memori berwarna biru yang dibalut dengan plastik dan diletakkan antara kepingan sandwic kacang.

Kad memori itu mengandungi elemen reka bentuk dan ciri prestasi reaktor kapal selam kelas Virginia. – AP 

POPULAR

KOSMO! TERKINI