Jumlah penumpang ke Dabong naik 300 peratus - Utusan Malaysia

Jumlah penumpang ke Dabong naik 300 peratus

SUASANA di Stesen Keretapi Dabong, Kuala Krai kini meriah dengan kehadiran penumpang setiap hari terutama pada hujung minggu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kapasiti tempat duduk tren Diesel Multiple Unit (DMU) bagi laluan Tumpat-Dabong ditambah sekali ganda susulan peningkatan hingga 300 peratus bilangan penumpang yang menggunakan perkhidmatan itu sejak bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, set berkembar tren DMU kini mampu menampung 416 penumpang bagi setiap perjalanan, berbanding hanya 208 penumpang sebelum ini.

Kata beliau, set khas bagi Shuttle Timuran Nombor 55 dan 56 untuk laluan Tumpat-Dabong dan Dabong-Tumpat itu ditambah pada setiap hujung minggu (Jumaat dan Sabtu) bermula hari ini serta setiap kali pada hari cuti umum.

“Kawasan Dabong di Kuala Krai kini menjadi fenomena membuatkan ramai ingin menaiki kereta api yang menawarkan pengalaman menarik, selesa dan selamat selain harga tiket yang berpatutan.

“Kami mengingatkan penumpang supaya duduk mengikut nombor tertera di tiket masing-masing kerana timbul rungutan penumpang yang tidak dapat duduk di kerusi sendiri, sekali gus menimbulkan pelbagai kesulitan.

“Selain itu, penumpang dinasihatkan untuk terus membeli tiket dua hala iaitu pergi dan balik serta merancang perjalanan lebih awal untuk mengelak kehabisan tiket,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mohd. Rani berkata, KTMB tidak mengabaikan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa komited memastikan setiap tren melalui proses sanitasi secara berkala bagi memastikan keselamatan penumpang.

“Penumpang juga dinasihatkan mematuhi SOP ditetapkan, antaranya perlu lengkap dua dos vaksinasi Covid-19, menunjukkan sijil vaksinasi, memeriksa suhu badan dan mengimbas kod aplikasi MySejahtera,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya