Jangan serah kedaulatan negara kepada pihak lain - Utusan Malaysia

Jangan serah kedaulatan negara kepada pihak lain

Azizuddin Mohd. Sani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Malaysia tidak boleh sewenang-wenangnya menyerahkan hak kedaulatan termasuk pulau dan sempadan maritim kepada negara luar meskipun wujud perjanjian bersama kerana tidak mahu mengulangi nasib Pulau Batu Puteh yang terlepas pemilikan kepada Singapura.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Politik Dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, situasi yang terjadi melibatkan Pulau Batu Puteh wajar dijadikan pengajaran kepada kerajaan dengan tidak membiarkan pihak asing menduduki kawasan kedaulatan meskipun milik negara ini.

Beliau kemudian merujuk kepada istilah ‘terra nullius’ daripada bahasa Latin yang bermaksud tanah tiada milik dan prinsip itu digunakan dalam undang-undang antarabangsa bagi menggambarkan wilayah mungkin diperoleh oleh negara yang mendudukinya.

“Sekalipun ada perjanjian tertentu, kita tidak boleh membenarkan seinci tanah kedaulatan kita diberikan kepada orang lain. Kalau tidak ungkapan terra nullius akan berbangkit ketika membuat tuntutan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Meskipun dalam kawasan negara kita sendiri, jika wujudnya bukti pendudukan, maka ia menjadi asas tuntutan pihak lain pada masa depan,” katanya.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan Malaysia dikhuatiri hilang kedaulatan ke atas Pulau Pisang di Pontian, Johor jika terus membiarkan negara lain membina dan menguruskan rumah api di kepulauan tersebut sekali gus bakal mengulangi nasib Pulau Batu Puteh.

Hal ini kerana Malaysia membenarkan Singapura mengurus dan membina rumah api di Pulau Pisang sedangkan pulau berkenaan milik negara ini.

Mohd. Azizuddin berkata, Malaysia boleh menjalinkan kerjasama dengan negara lain di kawasan pertikaian berbanding membawa tuntutan ke ICJ bagi mengelakkan mengalami kekalahan ketika keputusan penghakiman dibuat.

“Mungkin kita bernasib boleh menang seperti berlaku kepada Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan, mungkin juga boleh kalah. Jadi kita boleh mengadakan perbincangan dengan negara lain untuk membangunkan bersama kawasan terlibat sama ada dari aspek kajian saintifik atau pelbagai lagi,” katanya.

Namun kata beliau, perkara itu tidak sesuai jika membabitkan kedaulatan mutlak Malaysia. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN