Jaga maruah, kehormatan Paskal - Sultan Sharafuddin - Utusan Malaysia

Jaga maruah, kehormatan Paskal – Sultan Sharafuddin

SULTAN Sharafuddin Idris Shah memberi tabik hormat pada Upacara Penamaan dan Pentauliahan KD Panglima Garang di Pangkalan TLDM di Lumut hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Sultan Selangor,  Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu menjaga maruah dan kehormatan pasukan itu.

 

Baginda selaku Kepten Yang Dipertua TLDM bertitah, lambang trimedia yang tersemat di dada anggota Paskal adalah lambang kehormatan yang perlu dipertahankan.

 

“Jangan menggadaikan prinsip seorang anggota Paskal dengan melibatkan diri dalam perkara yang tidak bermoral dan melanggar peraturan perkhidmatan. 

 

“Anggota wajib berpegang teguh kepada sumpah dan ikrar Paskal,” titah baginda pada Upacara Penamaan dan Pentauliahan KD Panglima Garang di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.

 

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (Dasar), Ahmad Nazri Mohd. Hasan.

 

Sultan Sharafuddin  bertitah, semua warga Paskal perlu mempersiapkan diri dalam segala aspek kemahiran, fizikal dan mental serta memastikan  sentiasa mempunyai kemampuan diri untuk melaksanakan misi dan operasi khas yang diamanahkan oleh pihak tertinggi TLDM. 

 

Titah baginda, tugas anggota Paskal sangat mencabar dan berisiko tinggi. 

 

“Oleh itu, persiapan terbaik untuk hari esok adalah dengan melakukan latihan dan raptai yang terbaik pada hari ini.  

 

“Teruskan menimba ilmu pengetahuan, sesuai dengan perkembangan teknologi semasa demi berdepan dengan cabaran yang kompleks pada masa ini,” titah baginda.

 

Baginda menzahirkan harapan agar prestasi dan imej Paskal diteruskan dan dipertingkatkan.

 

Baginda bertitah, setelah hampir 39 tahun penubuhannya, Paskal berjaya melakar pelbagai kejayaan dalam melaksanakan misi-misi yang dipertanggungjawabkan  di dalam dan luar negara.

 

Titah baginda, semasa penubuhan Paskal pada tahun 1982, pasukan itu berfungsi untuk mempertahankan Stesen Luar Pantai TLDM di Laut China Selatan selain melaksanakan pelbagai operasi-operasi khas di laut, darat dan udara daripada pelbagai ancaman. 

 

“Sepanjang tempoh itu juga, Paskal telah berjaya melatih seramai 1,103 orang pegawai dan anggota tentera laut dari dalam dan luar negara melalui pelbagai kursus-kursus khas yang dijalankan. 

 

“Beta menzahirkan rasa bangga apabila dapat melihat kejayaan TLDM khususnya Paskal membina fasiliti pusat latihan ini. 

 

“Kejayaan ini bertepatan dengan usaha untuk melatih warga Paskal yang cekap, terlatih dan sentiasa yang terbaik, ” titah baginda.

 

Sultan Sharafuddin menyeru semua anggota Paskal agar menjaga keselamatan diri semasa menjalani latihan di samping memberi tumpuan berganda dengan menitikberatkan aspek keselamatan untuk mengelakkan kemalangan jiwa.

 

Titah baginda, faktor keselamatan hendaklah dititikberatkan dan diuji berulang kali sebelum latihan dilaksanakan. 

 

“Beta mahu semua anggota komited melaksanakan amanah dengan penuh taat setia dan bersemangat tinggi.  

 

“Junjunglah cogan kata ‘Sentiasa Yang Terbaik’ agar ia benar-benar baik. Pertahankan semangat setia kawan yang merupakan inti kepada komuniti Paskal,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN