Hilang arah selepas kehilangan suami - Utusan Malaysia

Hilang arah selepas kehilangan suami

RAFIDAH Abdul Rahim (kiri) berkunjung ke kediaman Noor Haslina Yaakob (berdiri, dua dari kiri) di Taman Jelimas, Jalan Kampar, Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN. Buntu dan hilang arah. Itu yang dihadapi seorang suri rumah, Noor Haslina Yaakob, 47, selepas suaminya, Mohamad Sharif Ibrahim, 50, meninggal dunia pada 6 Oktober lalu akibat sindrom ‘long Covid-19’. 

Apa yang difikirkan hanyalah masa depan empat anaknya, Mohamad Shafiq, 17; Nur Shafiqah, 16; Mohamad Shamil, 15, dan Mohamad Shazimin, 13, serta dua anak saudaranya, Mohd. Dani Darwish Nazri, 11, dan Mohd. Eddy Iskandar, 8, yang merupakan OKU cacat pendengaran yang kehilangan tempat bergantung selepas suaminya meninggal dunia. 

Bagaimanapun, Noor Haslina bernasib baik apabila kesnya mendapat perhatian Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dengan segera menguruskan pencen penakat dan faedah pengurusan mayat untuk diserahkan kepadanya hari ini. 

Noor Haslina berkata, suaminya yang merupakan seorang penyelia di sebuah syarikat swasta disahkan positif Covid-19 pada 31 Ogos lalu dan menerima rawatan selama 26 hari di hospital sebelum meninggal dunia 6 Oktober lalu. 

“Arwah suami alami batuk dan berasa penat sebelum disahkan Covid-19, kami tidak tahu dari mana punca jangkitan, kami semua negatif Covid-19. 

“Saya anggap ia adalah takdir kami, apa yang penting ialah masa depan empat anak kandung dan dua anak saudara yang berada di bawah jagaan saya pada masa ini, kesemuanya masih bersekolah,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Jalan Kampar, di sini hari ini. 

Terdahulu, Noor Haslina dan anak-anaknya menerima kunjungan Pengurus Perkeso Georgetown, Rafidah Abdul Rahim yang menyerahkan sumbangan kotak prihatin Perkeso kepada keluarganya. 

Menurut Noor Haslina, pada mulanya dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan selepas kematian suaminya dan juga tidak mengetahui dia dan anak-anak layak menerima pencen penakat. 

“Syukur pihak Perkeso mencari kami menerusi bantuan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan anak sulung saya yang memaklumkan kami layak menerima faedah daripada Perkeso. 

“Saya sangat berterima kasih dengan bantuan dan pencen penakat daripada Perkeso ini, sekurang-kurangnya anak-anak saya dapat meneruskan persekolahan mereka,” katanya.  

Dalam pada itu Rafidah berkata, setakat 1 September lalu, sebanyak 46 kanak-kanak yang tinggal di daerah Timur Laut kehilangan ibu atau bapa akibat Covid-19. 

“Pasukan kami memang mencari mereka ini kerana mereka layak menerima bantuan sekiranya waris mencarum dan bagi kes Noor Haslina kami segera menyampaikan bantuan selepas mendapat maklumat mengenai mereka daripada JPN,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya