Guru antivaksin: urus ikut urutan kes -Zahid - Utusan Malaysia

Guru antivaksin: urus ikut urutan kes -Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan guru-guru yang belum menerima suntikan vaksinasi sepatutnya dapat diuruskan mengikut turutan kes oleh Kementerian Pendidikan dan bukannya melalui pendekatan pukul rata. 

 

Beliau berkata, pihaknya percaya percaya masih banyak ruang serta peluang untuk memujuk dan meyakinkan guru terbabit supaya mengambil suntikan vaksin Covid-19.

 

Katanya, guru yang masih enggan itu perlu dikendalikan dengan cermat dan bijaksana kerana mengugut mereka dipindahkan ke negeri lain adalah pendekatan kurang berhemah serta autokratik.

 

“Jangan cepat menilai guru terlibat daripada sudut Teori X. Kendali mereka pada kaca mata Teori Y. Ini leadership yang lebih harmoni.

 

“Jumlah 2,000 guru tidaklah terlalu banyak dan mungkin sudah semakin berkurangan ketika saya menulis ini. 

 

“Sepatutnya mereka ini boleh diuruskan berdasarkan turutan kes oleh KPM. Bukan melalui pendekatan pukul sama rata,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook semalam. 

 

Menurut Ahmad Zahid, negara perlu mempunyai program khas untuk membantu para guru-guru dan bukannya hilang keyakinan serta putus asa terhadap guru terbabit.

 

Katanya, negara masih mempunyai masa yang mencukupi untuk memujuk serta meyakinkan mereka kerana sesi persekolahan adalah secara berperingkat.

 

“Sebarang bentuk ugutan hanya membuat rakyat marah kepada parti politik yang menguasai kerajaan hari ini,” katanya. 

 

Tambah beliau, guru terbabit perlu didekati dan difahami seorang demi seorang bagi mengetahui apakah punca sebenar mereka enggan divaksin.

 

“Adakah mereka sememangnya mempunyai alasan yang kukuh tentang risiko kesihatan diri untuk tidak mengambil vaksin tersebut? Jika benar begitu, apa langkah terbaik untuk membantu mereka dapat terus berkhidmat kepada anak bangsa?.

 

“Jika mereka tersalah faham mengenai risiko vaksin terhadap kesihatan diri, maka dapatkan pakar kesihatan untuk meyakinkan mereka.

 

“Andai mereka tersalah faham mengenai aspek hukum hakam, dapatkan bantuan ilmuan agama untuk menyedarkan mereka tentang hal sebenar.

 

“Sekiranya mereka dipengaruhi teori konspirasi tentang Covid-19 dan vaksinasi, dapatkan pakar kaunseling yang boleh memperbetulkan persepsi mereka,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN