MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Ghazale Muhamad sedia memberi laluan kepada calon baharu jika pucuk pimpinan tertinggi UMNO mempunyai pengganti untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ghazale yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkata, beliau tidak kisah jika tidak terpilih sebagai calon untuk mempertahankan kerusi Rim buat penggal ketiga.
“Kalau ada orang lain boleh pikul tanggungjawab, saya tidak kisah untuk memberi laluan. Mungkin inilah masanya untuk saya berehat.
“Dalam usia sudah menjangkau 66 tahun ini banyak yang saya fikir. Ada ketikanya saya ingin bertanding lagi kerana masih ada kemampuan dan ada ketikanya saya fikir lebih baik saya mengundur diri.
“Saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan. Saya tidak kisah jika ada calon lain difikirkan boleh memastikan DUN Rim masih kekal milik BN,” katanya ketika dihubungi.
Setakat ini, hanya ADUN Tanjung Bidara, Datuk Md. Rawi Mahmud mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan PRU-14.
Utusan Malaysia turut difahamkan, nama Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) Rim, Zulkifli Khalil, 51, disebut-sebut bakal menjadi calon pengganti Ghazale.
Zulkifli yang juga bekas Setiausaha Eksekutif Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) daripada 2001 hingga 2003 ikatakan calon boleh menang dan disenangi penduduk di kawasan tersebut.
Ghazale mula menjadi wakil rakyat apabila bertanding buat pertama kali di DUN Serkam pada PRU-12 dan menang dengan majoriti 2,819 undian.
Bagaimanapun, pada PRU-13, Ghazale berpindah ke tempat kelahirannya iaitu Rim dan menepati ramalan menang dengan majoriti 1,121 undian.
Pada PRU-14, beliau berjaya mempertahankan kerusi tersebut walaupun sekadar menang tipis dengan majoriti 536 undian. – UTUSAN ONLINE










