PETALING JAYA: Gaji tidak setimpal antara faktor yang mempengaruhi kira-kira 55,000 pekerja asing warga Indonesia untuk pulang ke negara asal melalui Program Rekalibrasi Pulang setakat semalam.
Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Sosiobudaya, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur, Yoshi Iskandar berkata, selain itu, kebajikan yang tidak terjamin dan tiada pembaharuan kontrak turut menjadi faktor yang memaksa warganya memilih untuk pulang.
Katanya, kebanyakan mereka yang tidak mahu lagi bekerja di negara ini adalah yang terlibat dalam sektor binaan yang dikategorikan sebagai 3D (kotor, bahaya dan sukar).
“Apabila situasi kontrak tidak diperpanjangkan, gaji tak setimpal dan kebajikan tak terjamin, maka lebih baik mereka pulang
“Dengan keadaan Covid-19 dan memikirkan nasib mereka yang mungkin tiada pekerjaan, maka pilihan yang ada adalah lebih baik untuk pulang ke negara asal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, kira-kira 400,000 pekerja warga asing telah meninggalkan negara ini akibat Covid-19 yang melanda sejak awal tahun lalu dan 200,000 lagi gagal dikesan ekoran kehilangan pekerjaan kerana penutupan sektor ekonomi.
Dalam pada itu, Yoshi berkata, pihaknya memahami faktor tersebut juga berlaku berikutan pandemik Covid-19 yang mendorong beberapa sektor sahaja dibenar beroperasi.
“Apabila tak banyak sektor yang dibenar beroperasi, maka ini tentunya mempengaruhi pekerja asing untuk kembali pulang ke negara asal.
“Jika yang ada permit pun kehilangan kerja apabila sektor mereka ditutup, apatah lagi dengan mereka yang tiada permit, jadi mereka terpaksa pulang,” katanya. – UTUSAN ONLINE










