ISKANDAR PUTERI: Johor bersedia menerima kemasukan pengunjung yang ramai ke negeri ini khususnya selepas pergerakan rentas negeri dibenarkan apabila kadar suntikan vaksin melepasi angka 90 peratus jumlah populasi dewasa negara.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, persediaan itu termasuklah memastikan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada di pelbagai fasiliti berkaitan.
Menurut beliau, pada peringkat negeri, pihaknya juga tidak berdepan masalah untuk mencapai sasaran 90 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin menjelang akhir bulan ini.
“Apabila rentas negeri dibenarkan kelak selepas mencapai kadar 90 peratus, semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka untuk kaedah ‘walk-in’ bagi mana-mana individu yang masih belum mendapatkan suntikan.
“Kita juga akan meningkatkan pematuhan SOP dengan menyediakan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman untuk diletakkan di kemudahan awam termasuk di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang terdapat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN2021) Peringkat Negeri Johor yang diadakan di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, kebenaran merentas negeri akan dilaksanakan serentak di seluruh negara yang akan diumumkan dalam masa terdekat ini.
“Tunggu saya akan umumkan. Tetapi dah tak lama dan akan dibuat serentak seluruh negara. Dulu kita nak beri kebenaran apabila kadar vaksinasi mencecah 80 peratus, tapi ada lagi negeri yang masih rendah. Kalau buka seluruh negara mungkin beri kesan tidak baik di negeri terbabit,” kata Ismail Sabri.
Sementara itu, tambah Hasni, kerajaan negeri baru-baru ini juga telah menerima sumbangan sejumlah tujuh juta pelitup muka daripada Singapura.
Terdahulu ketika berucap, beliau memberitahu pembukaan sempadan Malaysia-Singapura bagaimanapun perlu sedikit masa ekoran berlaku peningkatan kes di republik berkenaan. -UTUSAN