SUNGAI PETANI: Dua lelaki yang ditemukan mati di sebuah pusat rawatan dan pemulihan psikiatri swasta di Tikam Batu di sini pada Selasa dan Rabu lalu disahkan positif Covid-19.
Ketua Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil ujian saringan Covid-19 mendapati kedua-dua mangsa berkenaan dijangkiti virus tersebut.
“Keputusan bedah siasat juga turut mendapati kematian mereka berpunca daripada virus Covid-19,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Akhbar semalam melaporkan dua penghuni sebuah pusat rawatan dan pemulihan psikiatri swasta di Tikam Batu dekat sini dilaporkan meninggal dunia selang sehari selepas mereka ditemukan tidak sedarkan diri di pusat tersebut.
Mangsa pertama berusia 25 tahun dari Seremban, Negeri Sembilan ditemui pada pukul 8. 30 malam dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang tamu oleh pengasas pusat rawatan tersebut.
Mangsa kemudian disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Hospital Sungai Petani.
Sementara itu, mayat kedua berusia 20 tahun dari Ipoh, Perak ditemukan pada pukul 1 tengah hari oleh penyelia pusat rawatan itu yang kemudian menghubungi pihak hospital dan disahkan telah meninggal dunia. -UTUSAN ONLINE