[VIDEO] Dua lelaki buat aksi ala 'Superman' ditahan polis - Utusan Malaysia

[VIDEO] Dua lelaki buat aksi ala ‘Superman’ ditahan polis

TANGKAP layar rakaman video dua orang penunggang motosikal yang menunggang secara berbahaya termasuk membuat aksi ala 'Superman' di Lebuh Raya Lekas, Seremban, semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua lelaki ditahan polis selepas dipercayai menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Kajang Seremban (Lekas) seperti yang tular dalam sebuah video di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 16 dan 20 tahun itu ditahan di dua buah lokasi berasingan di Taman Matahari Indah dan Taman Bandar Senawang, di sini hari ini.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan polis yang terdiri daripada pegawai dan anggota risikan operasi daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban telah menjalankan risikan lalu berjaya mengesan dan menahan kedua-dua suspek terlibat.

“Berdasarkan rakaman yang diambil, kejadian tersebut dipercayai berlaku sekitar pukul 5.30 petang pada hari yang sama (semalam) di Lebuh Raya Lekas menghampiri susur persimpangan Ampangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

RAKAMAN video tular dua orang penunggang motosikal yang menunggang secara berbahaya termasuk membuat aksi ala ‘Superman’ di Lebuh Raya Lekas, Seremban, semalam.

Jelas Mohd. Said, ketika kejadian suspek dari arah Bukit Berembun, Jalan Pantai menghala ke arah Senawang.

“Kedua-dua suspek bersama dua buah motosikal terlibat ditahan di IPD Seremban untuk tindakan lanjut,” katanya.

Semalam telah tular di media sosial video berdurasi 12 saat memaparkan motosikal yang ditunggang oleh dua lelaki sedang membuat aksi berbahaya dengan menunggang sambil berbaring di atas tempat duduk ala ‘Superman’ dan menunggang secara zig-zag di mana aksi tersebut boleh merbahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Sek 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya serta siasatan lanjut masih diteruskan. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya