PETALING JAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mencadangkan agar kekurangan 32,000 tenaga kerja dalam industri perladangan dapat diisi dengan golongan tiada warganegara setelah mengambil kira manfaat kumpulan berkenaan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, golongan berkenaan telah hidup dan membesar dalam negara ini, malah lebih memahami budaya dan norma masyarakat negara ini berbanding dengan warga asing yang hendak dibawa masuk.
Katanya, masyarakat tiada warganegara lebih mudah mengisi keperluan tersebut di samping mengurangkan isu pemerdagangan manusia yang mungkin wujud kelak, di sebalik proses membawa masuk pekerja asing.
“Masyarakat tiada warganegara sekiranya diberi peluang bekerja dengan menggunakan pas yang tertentu boleh mengisi keperluan tersebut dan melalui kaedah ini, kita percaya lebih menguntungkan negara daripada segi ekonomi kerana pastinya golongan ini akan berbelanja dalam negara sahaja kerana keluarga mereka berada di sini.
“Sekiranya pekerja asing, aliran wang tunai negara akan keluar setiap bulan kerana sudah tentu pekerja asing ini akan menghantar wang mereka ke luar negara buat keluarga mereka di negara asal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang memaklumkan sejumlah 32,000 pekerja asing dibawa masuk untuk mengisi kelompongan tenaga kerja dalam sektor perladangan secara berperingkat seawal bulan depan.
Dalam pada itu, Hishamuddin menambah, kesetiaan masyarakat tiada warganegara lebih dipercayai dengan wujudnya hubungan kekeluargaan mereka di sini di samping situasi pemulihan ekonomi negara ketika ini, MHO melihat penggunaan tenaga sumber manusia dari dalam yang sudah tersedia ada melalui kumpulan itu lebih harus diberi tumpuan oleh pihak kerajaan dan industri.
“Isu pekerja lari daripada majikan tidak akan timbul kerana bagi warga tiada warganegara, mereka hendak lari ke mana selain tinggal terus di dalam negara ini dan tambahan pula selepas diberi peluang bekerja dan membina kehidupan bersama keluarga mereka hasil pendapatan bekerja itu nanti.
“Mereka akan rasa lebih dihargai kerana telah diberi peranan yang sama dalam membangun semula negara ini,” katanya lagi.
Beliau percaya percaya dengan pengambilan golongan berkenaan sebagai tenaga kerja dapat sedikit sebanyak mencapai hasrat kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan negara terhadap keperluan pekerja asing pada masa hadapan dan ke arah mencapai guna tenaga dalam negara sepenuhnya.
Katanya lagi. MHO menyeru semua pihak menilai cadangan itu sekali gus sedikit sebanyak dapat memberi jalan keluar kepada isu warga stateless di negara ini dan menyelesaikan sedikit sebanyak isu tenaga kerja dalam sektor 3D sekarang terutama perladangan.
“MHO bersedia membantu semua pihak yang terlibat sekiranya diberikan peluang dalam menangani isu ini kelak,” katanya. -UTUSAN ONLINE