Belanjawan 2022: Operator hospital swasta mohon sektor pelancongan kesihatan diperkasa - Utusan Malaysia

Belanjawan 2022: Operator hospital swasta mohon sektor pelancongan kesihatan diperkasa

KULJIT SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menjelang pembentangan Belanjawan 2022 Jumaat ini, Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) memohon agar sektor pelancongan kesihatan terus diperkasakan.

 Presidennya, Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, mereka malah bersedia membantu negara ini dengan menerima ramai pelancong kesihatan datang ke Malaysia untuk menerima rawatan terbaik.

 “Kami berharap kerajaan akan membenarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta dapat beroperasi secara lebih berdaya saing,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

 Terdapat 210 buah hospital swasta di seluruh negara yang memiliki sejumlah 15,957 katil dan sektor ini dikawal selia Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) sejak 2011.

 Berdasarkan rekod terakhir pada 2019 lalu sebelum pintu sempadan negara ditutup, Malaysia menerima 1.22 juta pelancong kesihatan dengan mereka membelanjakan lebih RM1.7 bilion.

 Pulau Pinang menjadi tumpuan ramai kelompok pelawat itu yang sebahagian besar datang dari Indonesia selain Thailand kerana kedudukan geografinya dan kos rawatan masih murah.

 Mengulas lanjut, Kuljit berkata, ketika ini, operator hospital swasta di Malaysia masih menawarkan nilai wang terbaik untuk pelancong kesihatan berbanding kebanyakan negara Asia lain.

 “Sebarang perubahan kawalan harga yang ditetapkan kerajaan melalui MHTC akan beri kesan besar kepada standard industri ini bersaing kompetitif di pasaran antarabangsa,” jelasnya.

 Justeru beliau berharap, Belanjawan 2022 mampu memperkukuhkan penjagaan kesihatan awam bagi majoriti rakyat dapat menikmati rawatan terbaik di fasiliti kerajaan pada harga kekal rendah.

 Sementara mereka yang berkemampuan lebih, ujarnya, termasuk warga asing akan terus menjadikan hospital swasta sebagai alternatif dan meringankan beban tugasan hospital kerajaan.

 Beliau memberi contoh ketika kemuncak kes Covid-19 melanda negara beberapa bulan lepas, hospital swasta mampu merawat lebih 3,500 pesakit bukan wabak itu yang sedia bayar kos sekali gus menyelamatkan petugas kesihatan di fasiliti kerajaan yang sudah peringkat kritikal terpaksa memindahkan pesakit tertentu ke premis swasta apabila had katil hampir maksimum.

 “Kelonggaran kemasukan pelancong kesihatan juga menjana ekonomi negara kerana banyak negara sudah giat mempromosikan sektor itu bagi memulihkan semula pendapatan,” katanya.

 Kuljit pada masa sama optimis Belanjawan 2022 perlu ambil iktibar pengalaman bidang penjagaan kesihatan awam awal tahun ini bergelut menguruskan Covid-19 dalam situasi sumber terhad dan memberi pengajaran berguna kepada pihak kerajaan dalam perancangan kewangan jangka panjang sektor tersebut apabila berlaku senario kecemasan di luar jangka.

 Kementerian Kewangan mungkin dapat menambah peruntukan penjagaan kesihatan awam kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar sebagai langkah persediaan rapi. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN