Bas sekolah henti operasi hingga tahun depan - Utusan Malaysia

Bas sekolah henti operasi hingga tahun depan

Pengusaha bas sekolah kini mengeluh dengan kenaikan kos tambahan antara RM1,000 hingga RM2,000 untuk memperbaharui insurans kenderaan. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekurang-ku­rangnya 50 peratus daripada 13,000 pengusaha bas sekolah di seluruh negara tidak akan bero­perasi untuk pembukaan sekolah secara bersemuka tahun ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan ibu bapa yang kini perlu memikirkan tentang pengangkutan anak-anak mereka ke sekolah.

Langkah itu bertujuan menjimatkan perbelanjaan penyelenggaraan bas-bas sekolah yang telah lama terbiar akibat pandemik Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Gabungan Pe­ngusaha Bas Sekolah Malaysia, Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, pihaknya tidak akan memulakan lagi operasi sehingga tahun depan.

“Kami mengambil pendekatan untuk tidak mulakan operasi bas sekolah kerana nanti kami perlu keluarkan modal untuk dua kali memandangkan sekolah nanti akan tutup semula untuk cuti akhir tahun.

“Kos yang perlu dikeluarkan untuk penyelenggaraan setiap bas adalah sekitar RM3,000 hingga RM5,000 jadi kami tidak boleh selenggara bas sekarang dan kurang daripada tiga bulan, kami perlu selenggara sekali lagi,” jelas Mohd Rofik ketika dihubungi semalam.

Turut menimbulkan kegusaran pihak pengusaha bas sekolah adalah pembayaran yuran bas daripada ibubapa yang mungkin tidak mahu untuk membayar yuran penuh.

“Kita sedia maklum kapasiti pelajar ke sekolah ketika ini adalah sebanyak 50 peratus sahaja dan bergilir-gilir. Sudah tentu nanti akan timbul konflik antara ibubapa dan pengusaha berkaitan hal ini.

“Oleh kerana itu, kami memilih untuk tunggu pengumuman untuk tahun depan sama ada sekolah akan dibuka dengan kehadiran penuh atau sebalik­nya,” katanya.

Sepanjang pandemik yang bermula tahun lalu, kira-kira 50 peratus pengusaha bas sekolah di negara ini didakwa gulung tikar dengan kebanyakannya terpaksa menjual bas serta van masing-masing akibat hilang punca pendapatan.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bas Sekolah Bumiputera Selangor dan Kuala Lumpur (KL), Amali Munif Rahmat berkata, pihaknya mengambil pendekatan untuk menjalankan bas secara bergilir-gilir supaya tidak berlaku pembaziran bahan api dan boleh menjimatkan modal oleh setiap pengusaha.

“Walaupun dah mulakan operasi, jika sebelum ini tiga bas akan dikeluarkan untuk setiap kawasan, sekarang hanya satu bas sahaja,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN