ATM bakal dilengkapi trak taktikal berat buatan AS - Utusan Malaysia

ATM bakal dilengkapi trak taktikal berat buatan AS

KEUPAYAAN trak berat keluaran Oshkosh bakal memperkukuhkan imej ATM dari segi kekuatan logistik. – Foto media sosial
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) mengesahkan penjualan sejumlah trak taktikal mobiliti berat dipertingkatkan (HEMTT) keluaran mereka kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Perkara tersebut turut disiarkan laman sesawang agensi itu yang turut dikenali sebagai The Pentagon menerusi perolehan bagi tender kontrak dalam seksyen tentera darat baru-baru ini.

 

Pengeluar jentera berkenaan, Oshkosh Defence LLC beribu pejabat di Wisconsin, AS, malah meraih nilai bidaan keseluruhan AS$16,708,584 (kira-kira RM69,814,901) untuk tiga buah negara.

 

Selain ATM, penjualan jentera HEMTT pacuan lapan roda itu turut melibatkan tentera Iraq dan Lebanon, tetapi, syarikat berusia 104 tahun tersebut tidak menyatakan bilangan yang dijual.

 

Bagaimanapun, firma itu mengesahkan lima model yang dibeli meliputi M1120A4, M1070A1, selain jentera pengangkut M977A4, trak kargo M977A4 dan trak pengisian minyak M978A4.

 

Pada ketika ini, ATM cuma mempunyai tiga buah HEMTT pacuan lapan roda keluaran syarikat Dongfeng dari China awal tahun lalu untuk kegunaan pihak Tentera Darat Malaysia (TDM).

 

The Pentagon turut memaklumkan bahawa trak tentera berkuasa tinggi yang seberat 10 tan itu perlu lengkap diserahkan kepada kerajaan Malaysia menjelang akhir Januari tahun depan.

 

HEMTT sudah lama digunakan oleh pasukan tentera darat AS sejak 1982 bagi menggantikan model sebelum itu, M520 Goer keluaran firma jentera ternama negara tersebut, Caterpillar.

 

Dengan kelajuan maksimum 100 kilometer sejam dan mampu dikendalikan dua kru sahaja, jentera baharu berkeupayaan 515 kuasa kuda itu turut menjadi pilihan 16 negara sekutu AS.

 

Setakat ini, sejumlah 35,800 unit dihasilkan untuk pasaran eksport antaranya Arab Saudi, Brazil, Greece, Israel, Jordan, Korea Selatan, Maghribi, Mesir, Oman, Qatar, Taiwan dan Turki.

 

Di peringkat rantau Asia Tenggara, hanya Malaysia yang dianggap sebagai buat julung kali memiliki pelbagai varian model jentera HEMTT paling moden dikeluarkan oleh Oshkosh. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN