KOTA KINABALU: Demi tugas, sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah sanggup menyeberangi sungai selama 15 minit untuk menghantar jenazah pesakit Covid-19.
Jenazah itu dibawa menyeberangi sungai untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Betutai, Tuaran pada pukul 11.30 pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Tuaran, Paulina Francis berkata, berikutan tiada laluan darat menuju ke perkampungan di Pulau Torong Kibing itu, pasukan pengurusan jenazah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta bantuan APM untuk menghantar jenazah menggunakan bot APM.
Beliau berkata, ini merupakan khidmat bantuan kedua yang dilakukan oleh APM bagi menghantar jenazah pesakit Covid-19 untuk dikebumikam.
Bantuan kali ini membabitkan jenazah warga emas dikenali sebagai Remah Ali,87, yang meninggal dunia di rumahnya pada Isnin. Jenazah kemudian dibawa ke hospital bagi menjalani saringan Covid-19.
“Bantuan menguruskan jenazah pesakit Covid-19 ini disertai seramai empat anggota APM Tuaran manakala, pasukan pengurusan jenazah KKM seramai tujuh orang.
“Anggota APM bukan hanya membantu menghantar jenazah sebaliknya, mereka turut bersama-sama menyempurnakan proses pengebumian jenazah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, sudah menjadi tanggungjawab APM membantu agensi lain dalam melaksanakan tugas pengurusan jenazah Covid-19.
Jarak dari Kampung Betutai, Tuaran menuju ke tanah perkuburan kira-kira tiga kilometer atau 15 minit perjalanan menaiki bot. -UTUSAN ONLINE










