SEREMBAN: Seramai 279 orang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan sudah bersedia bagi menghadapi sebarang bencana yang berkemungkinan berlaku di negeri ini ekoran fenomena Monsun Timur Laut.
Pengarah APM Negeri Sembilan Leftenan Kolonel (PA), Mohd. Syukri Madnor berkata, persediaan bencana itu bermula awal bulan ini sehingga Mac tahun hadapan.
“Secara keseluruhan, kami telah bersedia sebanyak 80 peratus bagi menghadapi fenomena Monsun Timur Laut.
“Beberapa persiapan lagi akan dilaksanakan termasuk mengadakan simulasi pusat pemindahan sementara yang diadakan tidak lama lagi bersama pelbagai agensi dan mengambil kira pandemik Covid-19 yang memerlukan pelaksanaan ujian RTK-Antigen dan mangsa belum lengkap divaksinasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Ujian Siren (Sistem Amaran Awam) di Pejabat APM Negeri Sembilan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Syukri, antara perancangan persediaan bencana yang dijalankan pihaknya termasuk menjalankan latihan bersama pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Meteorologi bagi menilai tahap kadar hujan dan kadar kenaikan air sungai.
“Kami juga mengadakan persediaan bagi bencana lain selain banjir iaitu kepala air dan tanah runtuh,” katanya.
Tambah beliau selain bilangan anggota, sebanyak 58 buah pelbagai jenis aset juga sudah bersiap sedia bagi menghadapi bencana.
“Sebanyak 39 buah bot, lapan buah lori lima tan, empat buah lori tiga tan, tujuh buah kenderaan pacuan empat roda telah disediakan.
“Sebanyak 82 lokasi banjir juga telah dikenal pasti pihak JPS yang melibatkan 323 buah kampung dan taman perumahan di negeri ini. Sebanyak 200 buah lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) juga telah dikenal pasti,” katanya. -UTUSAN ONLINE