Al-Quds muncul pengeluar, pembekal daging tempatan di Lotus Malaysia - Utusan Malaysia

Al-Quds muncul pengeluar, pembekal daging tempatan di Lotus Malaysia

PELBAGAI produk daging domestik yang bermutu tinggi ditawarkan Al-Quds Livestock untuk penggemar hidangan berasaskan lembu. – Foto ihsan Al-Quds Livestock.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesan wabak Covid-19 sejak awal tahun lalu dimanfaatkan agensi pelancongan Muslim terkenal negara ini, Al-Quds Umrah and Tours yang kini beralih bidang dengan menjadi pengeluar daging halal.

 

Syarikat ditubuhkan 12 tahun lalu yang terjejas teruk akibat pandemik itu berjaya menceburi bidang penternakan lembu dan pemprosesan daging segar demi kelangsungan perniagaan.

 

Hasil kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui pemadanan bisnes, ia muncul satu-satunya berjaya menembusi rangkaian pasar raya asing ternama, Lotus’s Store.

 

Pencapaian cemerlang itu diakui pihak kementerian tersebut menerusi kenyataan akhbar di sini semalam bagi memaklumkan antara kejayaan inisiatif dilaksanakan secara rintis tersebut.

 

“Kementerian memainkan peranan proaktif dalam pemadanan perniagaan dengan bantu bagi memperluas dan memperkasakan pemasaran produk melalui usahasama strategik,” katanya.

 

Al-Quds Livestock Sdn. Bhd malahan mendapat bimbingan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk dapat memasuki rak jualan di gedung dimiliki Lotus’s Store (Malaysia) Sdn. Bhd.

 

Pasar raya besar yang asalnya dikenali Tesco Malaysia itu, diambil alih daripada induknya di Britain oleh operator gergasi peruncitan Thailand, Charoen Pokphand Group akhir tahun lalu.

 

Menerusi rundingan pemadanan itu, Al-Quds ditawarkan peluang pemasaran produk daging domestik di tujuh cawangan Lotus mulai 30 Ogos lalu dan diikuti lima lagi pada 3 September.

 

Gedung terletak di Selangor itu ialah Bandar Puteri Bangi, Kajang, Semenyih, Bukit Puchong, Shah Alam, Puncak Alam, Ara Damansara, Mutiara Damansara dan Kepong di Kuala Lumpur.

 

Kesemua produk tersebut diuruskan oleh pihak Al-Quds yang 100 peratus pemilikan Muslim menerusi subsidiarinya, Dunia Daging berpusat di Wisma Al-Quds, Kota Bharu, Kelantan.

 

“Lotus turut beri sokongan tambahan dari segi tunjuk ajar promosi dan unjuran permintaan bagi rancang ketersediaan produk dan memastikan Al-Quds berjaya lonjak jualan,” katanya.

 

Stok diperoleh dari ladang ternakan ‘feedlot’ premium milik Al-Quds sendiri di Kampung Tasik Batu, Gual Nering, Rantau Panjang, Kelantan dengan kapasiti maksimum 2,000 ekor lembu.

 

Ruminan yang dipelihara itu juga dari baka kualiti terbaik Brahman, Charolais dan Limousine dengan diberi makan bijiran terpilih tanpa suntikan steroid, antibiotik atau hormon tertentu.

 

Lembu itu disembelih patuh syariah di premis JPV Kelantan dengan ada sijil halal sebelum dipotong dan dibungkus secara pek vakum bagi mengekalkan kesegaran tanpa perlu sejuk beku.

 

Syarikat ini juga mempunyai dua kedai jualan iaitu di Kota Bharu, Kelantan dan Bandar Baru Bangi, Selangor untuk memasarkan terus 37 produk diproses dan 10 produk sedia dimasak.

 

Kejayaan Al-Quds dalam tempoh kurang dua tahun membuktikan kementerian komited untuk memperkukuh pasaran produk daging tempatan melalui pelbagai program yang disediakan.

 

“Usahawan yang berminat bagi mendapatkan khidmat pemadanan bisnes ini turut dijemput menghubungi pejabat kementerian atau JPV berhampiran untuk maklumat lanjut,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN