800 pelajar baharu USIM mula daftar hari ini - Utusan Malaysia

800 pelajar baharu USIM mula daftar hari ini

MOHAMED Ridza Wahiddin (kanan) beramah mesra dengan pelajar baharu yang mendaftar di USIM, Nilai di Seremban hari ini.UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai dekat sini mula menerima pendaftaran seramai 800 daripada 2,445 pelajar baharu dan keperluan khas hari ini.

Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Ridza Wahiddin berkata,  pendaftaran pelajar baharu dan keperluan khas diadakan di dua lokasi berbeza di universiti tersebut bagi mengurangkan kesesakan ketika proses pendaftaran. 

“Pada hari ini, USIM memulakan sesi pendaftaran secara fizikal dan hampir 800 pelajar baharu dan berkeperluan khas mula mendaftar. Ia telah diadakan di Dewan Tuanku Canselor dan di Kediaman Nilam Court.

“Kami juga hanya membuka dua pintu laluan kemasukan ke USIM bagi mengelakkan kesesakan dan mengambil kira segala langkah termasuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi memastikan virus Covid-19 tidak menular di kawasan persekitaran universiti ini. 

“Bermula hari ini juga, pihak universiti hanya membenarkan penuntut yang sudah dilengkapi dua dos sahaja manakala bagi mereka yang masih tidak lengkap disebabkan kesihatan mereka akan menjalani ujian calitan dalam tempoh 48 jam dan saringan bagi memastikan tiada penularan wabak Covid-19 di universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan semasa kemasukan pelajar USIM secara fizikal di USIM, Nilai di sini hari ini. 

Sementara itu, menurut Mohamed Ridza, beliau berpuas hati selepas melihat pendaftaran berjalan lancar dan lebih sistematik.

“Kami juga sebelum sesi pendaftaran ini telah mengadakan simulasi kepada semua petugas pendaftaran bagi memudahkan urusan pendaftaran secara fizikal dengan SOP yang ketat supaya tidak berlaku sebarang kesesakan semasa pendaftaran,” katanya. 

Mohamed Ridza memaklumkan, sebanyak lima peringkat fasa pendaftaran pelajar baharu dan berkeperluan khas dilaksanakan bermula 15 Oktober hingga 5 Disember depan.. 

“Kebanyakan pelajar yang mendaftar secara fizikal ini disebabkan terdapat jurusan yang memerlukan mereka menggunakan makmal untuk melakukan latihan amali terutama kepada mereka yang mengambil jurusan kejuruteraan, perubatan dan seni bina,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN