7 Wanita Vietnam antara 297 warga asing disyaki tawar khidmat seks ditahan Imigresen - Utusan Malaysia

7 Wanita Vietnam antara 297 warga asing disyaki tawar khidmat seks ditahan Imigresen

ANGGOTA Imigresen menahan PATI semasa Operasi Penguatkuasaan bersepadu Imigresen di sebuah tapak pembinaan di Beranang, Selangor. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Seramai 297 warga asing yang  tinggal di rumah kongsi tujuh blok kontena ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Operasi Penempatan Warga Asing di Echo Majestic, Semenyih awal  pagi tadi. 

 

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, warga asing itu ditahan atas aduan orang ramai dan menyalahi Akta Standard Minimum Perumahan Penginapan dan Kemudahan Pekerja (446), Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

 

Menurutnya, dalam operasi itu, seramai 326 warga asing diperiksa dan antara kesalahan adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1960 dan Peraturan peraturan Imigresen 1959/63. 

 

“Semasa serbuan dilakukan, terdapat beberapa warga asing cuba melarikan diri dan penempatan itu turut menggunakan tenaga elektrik secara tidak teratur serta disyaki menggunakan sambungan haram Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

“Jumlah warga asing yang ditahan membabitkan warga Indonesia seramai 94 lelaki dan 28 wanita, 95 lelaki warga  Bangladesh,seorang lelaki warga Ghana, 66 lelaki warga Myanmar dan 

enam lelaki serta tujuh wanita warga Vietnam,” katanya yang turut serta dalam operasi berkenaan.

 

Operasi yang diadakan pada pukul 1 pagi itu membabitkan seramai 136 anggota Imigresen Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan serta  dibantu  agensi  penguat kuasa lain terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM). 

 

Khairul Dzaimee berkata, kehadiran wanita warga Viethnam itu disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral menawarkan perkhidmatan seks. 

 

Menurutnya,kawasan penginapan warga asing ini juga didapati sangat padat, kotor dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang disyaki boleh menjadikan punca merebaknya wabak Covid-19 dan demam denggi. 

 

Katanya lagi, warga asing yang ditahan di bawa ke Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya (PKD) dan PKD Seremban untuk menjalani saringan Covid-19 sebelum ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih. 

 

 “Imigresen memberi amaran dan mengingatkan orang ramai serta majikan agar tidak menggaji dan melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN