53 orang penjawat awam di Negeri Sembilan belum terima vaksin - Utusan Malaysia

53 orang penjawat awam di Negeri Sembilan belum terima vaksin

AMINUDDIN Harun dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Terdapat seramai 53 orang dalam kalangan penjawat awam di Negeri Sembilan masih belum menerima vaksin Covid-19 mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah tersebut daripada keseluruhan 7,273 orang penjawat awam di negeri ini.

“Dua minggu lepas, saya maklumkan seramai 64 orang penjawat awam di negeri ini belum divaksinasi, namun, kini jumlah tersebut kini tinggal 53 orang bermakna 11 orang telah terima vaksin.

“Memang ada yang berkeras sedikit dan tidak mahu divaksinasi, tetapi, saya harap supaya mereka ambil vaksin, itu pandangan saya, jika mereka rasa mereka ada hak, terpulang tetapi bagi memudahkan dan mereka dapat melakukan aktiviti mereka secara sedia kala,bagi saya dapatkanlah vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Ditanya apakah tindakan yang boleh diambil terhadap penjawat awam di negeri ini yang masih enggan menerima vaksin, Aminuddin berkata perkara itu akan diputuskan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Apabila kerajaan mewajibkan semua penjawat awam dapatkan vaksinasi, di negeri ini hanya tinggal 53 orang sahaja.

“Kita masih ada masa lagi, sehingga hujung bulan ini, kita tunggu, yang buat penentuan adalah di peringkat JPA, apakah tindakan seterusnya. Buat masa ini mereka telah diberi cadangan supaya dapatkan vaksinasi penuh dalam tempoh sebulan ini, harap mereka terima pandangan itu,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, golongan dewasa di negeri ini yang telah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 telah mencapai kadar 99.2 peratus.

Bagi program vaksinasi buat pelajar pula, seramai 88,502 orang pelajar di negeri telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin daripada keseluruhan seramai 104,848 orang pelajar berusia di antara 12 hingga 18 tahun di negeri ini. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN