SINTOK: Seramai 5,082 pelajar baharu ditawarkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini bagi sesi akademik 2021/2022 yang akan bermula secara berperingkat pada 15 Oktober ini.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Naim Hilman Abdullah berkata, kesemua pelajar tersebut telah ditawarkan mengikuti 47 program pengajian.
Menurutnya, mereka terdiri daripada pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), diploma, matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan pelajar antarabangsa.
“Daripada 5,082 pelajar yang diterima, seramai 4,817 adalah pelajar tempatan dan selebihnya iaitu 252 pelajar antarabangsa.
“Pelajar antarabangsa paling ramai diterima masuk adalah dari Indonesia iaitu 116 pelajar dan UUM juga menerima kemasukan 16 pelajar orang kelainan upaya (OKU) dan tiga pelajar Orang Asli,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, tiga program pengajian yang menerima kemasukan terbesar iaitu Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian seramai 347 pelajar, 311 pelajar bagi Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian dan 306 pelajar bagi Sarjana Muda Sains Ekonomi dengan Kepujian.
“Pelajar lama dan baharu akan memulakan sesi akademik pada 15 Oktober ini secara berperingkat seperti diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketat.
“Pelajar perlu lengkap vaksinasi selain melepasi tempoh matang vaksinasi 14 hari,” katanya.
Tambahnya, kira-kira 2,600 pelajar lama dan 900 pelajar baharu akan memasuki kampus bagi fasa pertama, namun, jumlah akan berubah dari semasa ke semasa kerana masih dalam proses maklum balas. -UTUSAN ONLINE