31,000 kg minyak masak bersubsidi dirampas - Utusan Malaysia

31,000 kg minyak masak bersubsidi dirampas

AZMAN Adam memeriksa minyak masak bersubsidi yang dirampas di stor eksibit di Krubong, Melaka malam tadi. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lapan lelaki ditahan dengan minyak masak lebih 31,000 kilogram dirampas dalam satu serbuan membabitkan sindiket penyelewengan minyak masak peket 1 kilogram (kg) di sebuah gudang dua tingkat di Bandar Bukit Beruntung, Selangor, kelmarin. 

Dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 pagi itu, tujuh daripada suspek yang ditahan merupakan warga Myanmar, manakala seorang lagi warga Thailand berusia antara 18 hingga 45 tahun. 

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, pemeriksaan di lokasi telah menemui minyak masak sebanyak 31,500 kg yang ditempatkan dalam 36 unit tangki fiber bernilai RM87,300. 

Katanya, hasil siasatan, minyak tersebut dipercayai merupakan minyak masak bersubsidi paket 1kg yang sudah dipindahkan ke dalam bekas industri bukan bersubsidi.

“Pasukan serbuan telah menemukan sebanyak 36 unit tangki fiber berkapasiti 1,000 liter yang berisi keseluruhannya dianggarkan 31,500 kg minyak masak bersubsidi. 

“Peralatan untuk memindahkan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki fiber industri turut ditemui dan kesemua barang kes tersebut telah disita dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM87,300,” katanya pada sidang akhbar di stor eksibit di Krubong di sini, malam tadi.  

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya percaya sindiket berkenaan telah beroperasi hampir dua bulan dengan mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi daripada beberapa pemborong berlesen di sekitar Lembah Klang. 

“Minyak masak bersubsidi itu seterusnya dileraikan dan dikumpulkan dalam tangki fiber berkapasiti 1,000 liter untuk dipasarkan dengan harga bukan subsidi. 

“Dalam serbuan tersebut, seramai lapan pekerja lelaki warga asing telah ditahan untuk membantu siasatan,” jelasnya. 

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan minyak masak dalam keadaan menimbulkan syak munasabah. 

Ujarnya, kesalahan dilakukan telah melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan minyak masak yang melibatkan urusan secara borong atau runcit tanpa lesen sah. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya