15,196 pelajar di Pontian sudah divaksin - Utusan Malaysia

15,196 pelajar di Pontian sudah divaksin

DR. Surinah Asan (belakang tiga dari kanan) mengiringi Ahmad Maslan (dua kanan) meninjau PICK Remaja di PPV Dewan Jubli Intan Pontian, di Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seramai 15,196 atau 94 peratus pelajar di daerah ini telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 masing-masing melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja sehingga hari ini.

 

Pegawai Kesihatan Kanan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pontian, Dr. Surinah Asan berkata, jumlah itu melibatkan 16 buah sekolah menengah, 81 buah sekolah rendah selain kolej vokasional dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

 

Katanya, PICK Remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Pontian bermula di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kayu Ara Pasong pada 20 September lalu diikuti di tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu Dewan Jubli Intan Pontian; Dewan Serbaguna Benut dan Dewan Tunku Ibrahim Ismail Pekan Nanas.

 

“Kumpulan terakhir penerima dos kedua bagi PICK Remaja adalah pada 30 Oktober ini sebelum PPV Awam di daerah Pontian ditutup pada keesokan harinya,” katanya.

 

Beliau ditemui selepas mengiringi lawatan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan ke PPV Dewan Jubli Intan Pontian, di sini, hari ini.

 

Turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Pontian, Zaidi Ahmad dan Pengetua SMK Tan Sri Osman Sa’at, Mohd. Fadir Salleh.

 

Tambah Surinah, PICK Remaja bagi daerah Pontian juga berjalan lancar dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pontian sambil dibantu guru-guru dari setiap sekolah.

 

“Bagi pelajar yang belum menerima suntikan vaksin selepas 30 Oktober ini, mereka boleh mendapatkan suntikan di Klinik Kesihatan Pontian, Pekan Nanas dan Benut selain klinik swasta,” ujarnya.

 

Mengenai program suntikan bagi golongan dewasa pula, Dr. Surinah berkata, Pontian telah berjaya mencapai kadar 86.6 peratus daripada 125,000 penduduk yang berdaftar melalui MySejahtera.

 

Katanya, selepas PPV awam ditutup, pihaknya akan memberikan peluang kepada 30 hingga 50 orang bagi mendapatkan suntikan di klinik kesihatan secara ‘walk-in’ bagi memastikan tiada yang tercicir.

 

“PKD Pontian merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan PICK terutama para sukarelawan, ketua-ketua jabatan, penghulu dan ketua-ketua kampung serta pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” jelasnya.

 

Bagaimanapun ujarnya, orang ramai perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memutuskan  rangkaian jangkitan Covid-19 walaupun Johor telah memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN). -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.