124 penerima kumpulan pertama diami Rumah Ikram secara berperingkat - Utusan Malaysia

124 penerima kumpulan pertama diami Rumah Ikram secara berperingkat

REEZAL Merican Naina Merican (dua dari kiri) bersama penerima, Nurrul Naqiah Sulaiman (kanan) melawat unit rumah selepas majlis penyerahan kunci kepada penerima rumah IKRAM Keluarga Malaysia di PPR Lembah Subang 2 di sini, hari ini. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Seramai 124 penerima kumpulan pertama telah ditawarkan untuk mendiami rumah di bawah Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia (Rumah Ikram) secara berperingkat bermula 4 Oktober lepas. 

 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, berdasarkan jumlah tersebut, 55 penerima terdiri daripada ketua isi rumah wanita selaras dengan pendekatan dan sokongan yang diambil. 

 

Selain itu, katanya, sebanyak 88 permohonan juga telah dipertimbangkan dalam mesyuarat jawatan kuasa dan sebanyak 45 dari permohonan itu telah diperakui layak. 

 

“Alhamdulillah, syukur, tidak pun sampai 14 hari inisiatif rumah Ikram yang dilancarkan, hari ini kita dapat menyaksikan kumpulan pertama yang masuk ke kediaman masing-masing. 

 

“Kumpulan kedua pula adalah pada 15 oktober ini yang akan diteruskan pada semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan kunci kepada sembilan penerima Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia (Rumah Ikram) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, hari ini. 

 

24 September lalu, kerajaan melancarkan inisiatif Rumah Ikram Keluarga Malaysia dengan menyediakan 2,000 unit rumah yang memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 10,000 isi rumah yang memerlukan bantuan. 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini adalah tambahan 1,000 lagi unit rumah berbanding perancangan awal  di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Kelantan dan Johor dengan kadar sewa minimum, RM124 sebulan selama tempoh maksimum dua tahun.

 

Setakat 5 Oktober lepas, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerima sebanyak 690 permohonan dan 310 permohonanan tersebut adalah permohonan yang terdiri dari ketua isi rumah wanita. 

 

Menurut Reezal Merican, mana-mana keluarga Malaysia yang berada dalam keadaan rentan dan memerlukan akan diutamakan pemberian inisiatif itu terutamanya ketua isi ruma wanita. 

 

“Kita akan lihat lagi di tempat lain seperti mana dimaklumkan 2000 unit sebelum ini yang merangkumi enam negeri. 

 

“Saya juga mengalu-alukan mana-mana kerajaan negeri yang ingin turut serta (dalam inisiatif unit kediaman ini),” katanya. 

 

Dalam pada itu, seorang penerima, Nurul Naqiah Sulaiman, 30, berkata, dia melahirkan rasa syukur dan jutaan terima kasih kepada pihak KPKT kerana kini sudah mempunyai rumah. 

 

Katanya, satu perkara yang tidak diduga apabila permohonannya diluluskan secepat mungkin di saat ramai yang terkesan akibat pandemik Covid-19 ini. 

 

“Sebelum ini saya tinggal bersama keluarga mertua di Kuala Selangor bersama adik beradik lain yang ramai kerana kadar kos sewaan di luar agak mahal terutama di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor.

 

“Dengan sumber pendapatan bawah RM3,000, kami memang terkesan, maka saya terpaksa menumpang di rumah keluarga mertua. 

 

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri kerana membantu kami untuk saya mempunyai rumah sendiri,” katanya yang bekerja sebagai kerani. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN