PETALING JAYA: Sebanyak 11,914 kes gangguan seksual direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2018 hingga Ogos lalu dengan 90 peratus pemangsa ialah mereka yang dikenali dan antara modus operandinya menampilkan watak baik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, sebanyak 3,060 kes dilaporkan pada 2018 diikuti 3,487 kejadian direkodkan pada 2019.
“Sebanyak 3,176 kes lagi dicatatkan pada 2020 manakala 2,191 kejadian dilaporkan pada awal tahun ini sehingga Ogos lalu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut beliau, dalam tempoh tersebut, rogol mencatatkan kesalahan seksual tertinggi apabila sebanyak 4,829 kes direkodkan diikuti rogol berkumpulan (244), cabul (3,364 kes); aib (1,320 kes), luar tabii (964 kes); sumbang mahram (984 kes) ; rogol berkumpulan (244 kes) dan sebar bahan lucah (209 kes).
Katanya, kajian PDRM mendapati hampir 90 peratus pemangsa seksual adalah individu dikenali seperti keluarga, kenalan mahupun individu yang mempunyai kedudukan di dalam masyarakat sementara 10 peratus lagi daripada individu tidak dikenali.
Malah, ujarnya, terdapat pemangsa seksual berselindung di sebalik watak baik untuk mendekati individu yang dirasakan boleh dieksploitasi bagi melepaskan nafsu mereka.
“Selain itu, penjenayah tersebut akan memperdaya mangsa untuk terjebak dengan hubungan romantik seperti mula bertanyakan perihal perkara sulit yang tidak sepatutnya ditanya seseorang individu,” katanya.
Siti Kamsiah berkata, pada mulanya pemangsa seksual ini akan berhubung dengan mangsa sebagai kenalan atau individu sebagai tempat meluahkan sesuatu perkara.
Bagaimanapun, kata beliau, pada satu tahap pemangsa mula melakukan atau menghantar perkara jelik sehingga mangsa mula berasa jelik.
“Malah gangguan seksual boleh berlaku menerusi alam siber dengan penghantaran kata-kata, video atau imej yang tidak diingini oleh seseorang berbentuk mengaibkan sehingga melanggar kesantunan mangsa.
“Jenayah tersebut boleh melarat dalam bentuk mesej, video sehingga akhirnya berlaku sentuhan fizikal,” katanya.
Justeru, kata beliau, sebagai pengguna internet, orang ramai perlu berhati-hati dalam menggunakan aplikasi yang serba moden agar tidak mudah terjebak dalam aktiviti tersebut. – UTUSAN ONLINE










