PUTRAJAYA: Program Vaksinasi untuk masyarakat Orang Asli di seluruh negara kini sudah mencapai 67 peratus atau 115,516 orang.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, jumlah itu berdasarkan data terkini sehingga petang semalam.
“Ada lagi yang belum mendapat vaksin ini dalam lebih kurang 56,000, jadi kita sedang berusaha dengan pelbagai cara.
“Salah satu yang kita buat di peringkat kementerian ini adalah melalui outreach iaitu kita yang pergi cari, melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara), kita ada bas Mara Liner, kita tukar bas Mara Liner tu jadi macam PPV bergerak,” katanya selepas perasmian Hari Sukan Negara 2021 Peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), di sini hari ini.
Tambahnya, tumpuan program vaksinasi di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) itu adalah di negeri-negeri seperti Perak, Pahang dan Kelantan yang mempunyai bilangan Orang Asli yang ramai.
Secara keseluruhannya, katanya, seramai 172,155 Orang Asli layak divaksin membabitkan golongan dewasa seramai 144,180 orang dan 27,975 golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.
Jelas Mahdzir, Program Vaksinasi Orang Asli ditetapkan mencapai 100 peratus pada akhir bulan ini.
Ditanya mengenai adakah 56,639 Orang Asli yang belum divaksin itu menolak untuk divaksin, Mahdzir berkata masyarakat Orang Asli menerima baik Program Vaksinasi Kebangsaan.
“Mereka belum dapat vaksin, bukan menolak, sebab nak sampai mereka ini tinggal jauh di pedalaman, jadi kita sedang usahakan,” katanya. -UTUSAN ONLINE