KOTA BHARU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggotanya yang sengaja menolak untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 tanpa sebab.
Panglima Lapan Briged, Brigadier Jeneral Abu Hasan Assha’ari Kamis berkata, jika tetap berdegil enggan divaksin, individu tersebut boleh membuat permohonan untuk berhenti dari perkhidmatan.
“Anggota ATM memang diwajibkan mengambil suntikan vaksin kerana kita sentiasa berada dalam kelompok masyarakat apabila terlibat dalam penugasan di lapangan. Jika menolak vaksin, bagaimana hendak lakukan tugasan?
“Jika tidak mahu ikut arahan, maka, golongan antivaksin ini boleh membuat permohonan untuk berhenti kerja dan bukannya diberhentikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau melakukan agihan kotak makanan kepada veteran ATM di samping menyerahkan Jalur Gemilang kepada 70 wakil persatuan veteran tentera secara pandu lalu di Tambatan Diraja, di sini hari ini.
Dalam perkembangan yang sama, Abu Hasan Assha’ari berkata, setakat ini, semua anggota dan pegawai di bawah Markas Lapan Briged akur pada arahan dan tidak mempunyai masalah untuk divaksin.
“Anggota Lapan Briged setakat ini semua akur dengan arahan kerajaan untuk divaksin. Perkara ini wajib dan kalau dia tolak, maka individu itu sendiri yang buat pilihan untuk ingkar arahan pihak berkuasa,” katanya. -UTUSAN ONLINE