KUALA LUMPUR: Parti Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) menerima permintaan keahlian yang tinggi daripada orang ramai di Semenanjung sejak parti itu menyertai gabungan Pakatan Harapan (PH), 26 Ogos lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, sambutan memberangsangkan itu majoritinya datang dari Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan yang menunjukkan minat untuk menyertai UPKO.
“Bagaimanapun, setakat ini tiada anggaran berapa ramai yang ingin menyertai parti tetapi saya melihat dari aspek permintaan itu memang banyak selepas bersama PH.
“Oleh kerana parti belum mempunyai sistem yang teratur, UPKO sedang berusaha menambah baik melalui kaedah pendigitalan supaya pengurusan dan pentadbiran UPKO lebih mudah.
“Ini termasuk pendigitalan dari segi urusan cawangan, keahlian dan komunikasi yang dilihat mencabar dan prosesnya dijangka selesai dalam tempoh beberapa masa lagi,” katanya ketika dihubungi semalam.
UPKO sebelum ini pernah menjadi sebahagian daripada Barisan Nasional (BN) namun meninggalkan gabungan itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan memilih bersama PH sekali gus memperkukuh kerjasama dalam persiapan menuju pilihan raya umum seterusnya.
Ketika ini, PH dianggotai empat parti komponen pembangkang iaitu PKR diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Mohamad Sabu); DAP (Lim Guan Eng) dan UPKO.
Ditanya sama ada UPKO merancang melebarkan sayap ke Semenanjung mengambil pendekatan sama oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) yang ketika ini masih tertangguh, kata Wilfred Madius Tangau, UPKO sudah mengambil langkah terdahulu sejak 2007.
Katanya, UPKO sudah bertapak di empat kawasan Parlimen di Perak iaitu Tanjung Malim, Kampar, Tapah dan Gopeng yang 99 peratus terdiri daripada komuniti Orang Asli selain pernah mempunyai cawangan di Shah Alam namun tidak aktif.
“Ketika itu atas permintaan Orang Asli di Perak yang mempertimbangkan sama ada mahu membentuk parti politik baharu atau sedia ada, jadi, mereka buat keputusan menyertai UPKO kerana fokusnya menjurus kepada ‘orang asal’,” katanya. – UTUSAN ONLINE










