KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyifatkan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkaitan undi percaya tidak menggambarkan titah sebenar Yang di-Pertuan Agong.
Kenyataan Peguam Negara bahawa undi percaya terhadap Perdana Menteri tidak perlu dilakukan kerana boleh menjejaskan kuasa Agong bukan satu pandangan yang tepat.
Setiausaha Agung UPKO, Nelson W. Angang berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menyatakan Agong sudah bertitah bahawa undi percaya terhadap Perdana Menteri mesti dilakukan pada sidang Parlimen yang akan datang.
Semasa perjumpaan bersama pemimpin-pemimpin parti politik sebelum ini, Timbalan Yang di-Pertuan Agong turut menyatakan undi percaya harus menjadi agenda pertama apabila sidang Parlimen bermula, sebelum titah pembukaan Agong.
“Jadi undi percaya ini tidak boleh dilihat sebagai mengatasi kuasa Agong. Keabsahan terhadap Perdana Menteri perlu dilakukan di Parlimen.
“Satu usul undi tidak percaya itu tidak boleh dilihat sebagai ‘mengatasi atau mempertikaikan’ kuasa Agong kerana kuasa dan budi bicara untuk melantik Perdana Menteri dilakukan oleh Agong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Nelson, usul undi percaya perlu dikemukan dalam sidang Parlimen pada bila-bila masa bagi menentukan keabsahan dan sokongan terhadap Perdana Menteri dalam kalangan ahli Parlimen.- UTUSAN ONLINE










