Undi percaya PM penting untuk yakinkan rakyat - Utusan Malaysia

Undi percaya PM penting untuk yakinkan rakyat

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Undi percaya bagi menentukan keabsahan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri penting bagi meyakinkan rakyat.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sekiranya kerajaan yang memerintah hari ini ingin mendapatkan keyakinan rakyat, buktikan Ismail Sabri memang mendapat sokongan yang mencukupi daripada ahli Parlimen.

Sekarang ini, peranan berada di bahu kerajaan untuk membawa usul undi percaya ini dalam sidang Dewan Rakyat seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau berkata, setelah keabsahah Perdana Menteri ditentukan maka, kerajaan boleh memberi fokus untuk memerintah negara dan itu yang dititahkan oleh Agong.

“Saya bercakap berpandukan titah Agong semasa saya berada di Istana Negara. Jadi, saya tidak mahu dengar sebarang dakwaan kerana tanggungjawab membawa usul ini merupakan peranan kerajaan, bukan dengan kita (pembangkang).

“Kita sedia maklum, Tuanku menyatakan kaedah dan cara lantikan Perdana Menteri kesembilan ini menerusi kaedah akuan bersumpah (SD) dan selepas itu barulah Tuanku memanggil semua yang memberi sokongan untuk bertanya sama ada mereka ditekan mahupun redha.

“Selepas itu, Tuanku menyatakan agar Perdana Menteri mesti mengesahkan kedudukannya di Dewan Rakyat maka, dia perlu membawa usul undi percaya bagi menentukan keabsahannya,” katanya dalam sidang akhar selepas melawat kawasan tanah runtuh di Kampung Kopungit, hari ini.

Ahli Parlimen Semporna ini berkata, perkara ini bukan desakan pembangkang sebaliknya ia adalah titah Agong yang perlu dipatuhi dan dihormati. Maka, kerajaan hari ini perlu membuktikan Ismail Sabri mempunyai sokongan majoriti bagi membolehkan negara terus bergerak ke hadapan.

Menurutnya, keadaan yang berlaku ketika ini akan menjadi peringatan bahawa setiap prosedur perlu dipatuhi secara telus bagi menyakinkan rakyat.

“Jangan hari ini cakap lain, esok buat lain nanti susah mahu mendapatkan semula keyakinan dan sokongan daripada rakyat,” katanya.

Semasa lawatan itu, Mohd. Shafie turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk yang terjejas akibat tanah runtuh yang berlaku pada Sabtu lalu.

Pada Ahad, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menyatakan tiada keperluan untuk menentukan keabsahan lantikan Perdana Menteri kerana ia boleh menjejaskan kuasa Agong.

Katanya, sekiranya pelantikan Perdana Menteri baharu masih memerlukan keabsahan mana-mana pihak selain daripada Agong, ia bermakna kuasa mutlak Agong boleh diatasi oleh pihak lain. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN