Tujuh ditahan, bahan proses dadah RM50 juta dirampas - Utusan Malaysia

Tujuh ditahan, bahan proses dadah RM50 juta dirampas

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dan pemprosesan dadah selepas penahanan tujuh individu di sekitar Selangor serta Kuala Lumpur pada 10 hingga 16 September lalu.

Menerusi operasi yang dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor menahan lima lelaki dan dua wanita berusia 27 hingga 57 tahun.

Kesemua tujuh tangkapan terdiri daripada seorang lelaki dan wanita tempatan, empat lelaki serta seorang wanita warga asing.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, kesemua warga asing yang ditahan tersebut disyaki berasal dari negara jiran.

“Menerusi tujuh serbuan berasingan itu, kita telah merampas 174 guni di sebuah rumah kedai di sekitar Segambut yang mengandungi serbuk keperangan dipercayai untuk memproses dadah jenis ekstasi dan syabu seberat 5.5 tan bernilai lebih RM50 juta.

“Kita juga berjaya merampas dadah jenis kokain seberat 4.87 kilogram namun nilai dadah tersebut tidak boleh didedahkan bagi mengelakkan orang ramai terpengaruh dengan aktiviti ini.

“Kita turut merampas beberapa barangan seperti jam tangan, kenderaan dan alat pemprosesan dadah bernilai RM1.22 juta,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Razarudin, siasatan awal mendapati, sindiket tersebut telah aktif sejak 6 bulan lalu dalam aktiviti pengedaran bagi pasaran tempatan dan pemprosesan dadah.

“Modus operandi sindiket ini, mereka mempunyai pembeli tersendiri di dalam dan luar negara.

“Kita sedang menyiasat sekiranya mereka mendapat bekalan dadah jenis kokain dari Amerika Syarikat, Colombia dan Mexico sebelum menjadikan negara ini sebagai pusat transit untuk diedarkan ke Hong Kong dan Qatar.

“Kita percaya dadah jenis kokain ini untuk pasaran antarabangsa kerana harganya yang mahal berbanding dadah jenis syabu dan ekstasi. Ia boleh dianggarkan seperti harga segram emas,” jelasnya.

Kesemua tangkapan tidak mempunyai rekod jenayah dan akan direman sehingga Jumaat ini mengikut Seksyen  39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya