PUTRAJAYA : Pengusaha kedai makan dan restoran dinasihatkan supaya menugaskan seorang pekerja bagi memeriksa status vaksinasi MySejahtera pelanggan sebelum membenarkan mereka masuk dan makan di dalam premis.
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, ia penting bagi memastikan hanya pelanggan yang layak dibenarkan makan dan minum dalam premis.
Beliau berkata, pihaknya akui masih ada premis yang leka dan membiarkan pelanggan mereka masuk tanpa memeriksa status vaksinasi.
“Kesalahan itu antara beberapa pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang dikesan sepanjang Op Samar KPDNHEP di premis-premis makanan di seluruh negara sejak 13 Mei lalu.
“Antara kesalahan lain termasuk membiarkan pelanggan masuk ke premis tanpa mengimbas MySejahtera, tidak melakukan penjarakan meja makan, pengimbas suhu tidak berfungsi dan tidak menyediakan cecair pembasmi kuman,” katanya ketika ditemui pemberita ketika melakukan pemeriksaan menerusi Op Samar di sekitar Putrajaya, semalam.
Katanya, pihaknya juga mendapati tahap pematuhan SOP dalam kalangan peniaga dan pengguna bertambah baik berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan PKP 2.0 sebelum ini.
Azman berkata, kebanyakan kes pelanggaran SOP banyak dikesan di Lembah Klang memandangkan kawasan berkenaan padat dengan industri makanan dan minuman.
Ditanya mengenai persediaan KPDNHEP susulan keputusan kerajaan membuka tiga lagi destinasi gelembung pelancongan mulai 1 Oktober ini, Azman berkata, pihaknya sudah bersedia dan akan terus meningkatkan pemantauan khususnya di lokasi-lokasi tumpuan pelancong.
“Kami juga melakukan Op Samar di Langkawi selepas pulau peranginan itu dibuka kepada pelancong tempatan pada 16 September lalu, namun tiada kes pelanggaran SOP dikesan setakat ini,” katanya.
Melaka, Genting Highlands dan Pulau Tioman akan dibuka kepada pelancong tempatan bermula 1 Oktober ini. -UTUSAN ONLINE