Tingkat operasi pematuhan SOP, kekang peningkatan kembali kes Covid-19 - Utusan Malaysia

Tingkat operasi pematuhan SOP, kekang peningkatan kembali kes Covid-19

DR. Mohammad Faid Abd. Rashid (kanan) dan Veerapan (tengah) ketika menyertai Op Pematuhan SOP di Seremban 2, Seremban hari ini.-UTUSAN/AFIFI HAFIZ MOHD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) telah meningkatkan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) secara harian bagi mengekang penularan kes jangkitan Covid-19 di negeri ini.

Timbalan Pengarah Kesihatan Bahagian Kesihatan Awam negeri, Dr. Mohammad Faid Abd. Rashid berkata, mengikut data kes harian di Negeri Sembilan menunjukkan penurunan yang mendadak bagaimanapun pematuhan SOP tetap perlu diberikan keutamaan.

“Sebelum ini Negeri Sembilan mencatatkan lebih dari 1,000 kes berbanding sekarang lebih kurang 200 ke 300 kes Covid-19 sehari. Apabila mungkin hendak masuk ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pemantauan SOP sangatlah penting supaya kes harian tidak meningkat semula seperti mana di negeri-negeri lain.

“Jadi untuk mengekang peningkatan kes ini kami perlu buat operasi bersepadu dan juga operasi harian setiap hari di semua daerah bagi memastikan semua rakyat di negeri ini mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar pada Op Pematuhan SOP di Seremban 2, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S. Veerapan. 

Tambah Dr. Mohammad Faid, jika semua rakyat di negeri ini memainkan peranan menjaga SOP, kes harian yang menurun dapat dikekalkan dalam tempoh yang panjang.

“Apa yang penting sebab kita nak imbang dengan pembukaan banyak sektor-sektor sepertimana yang kita tahu sektor pelancongan juga sudah dibuka.

“Kita dapati di Port Dickson pada hujung minggu telah sesak. Saya pun telah arahkan Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson untuk melihat keadaan di pantai dan tempat tumpuan ramai bagi memastikan mereka mematuhi SOP,” tambahnya.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN