Tiada tuntutan terhadap tanah perkuburan Islam Taman Tasik Senangin - Utusan Malaysia

Tiada tuntutan terhadap tanah perkuburan Islam Taman Tasik Senangin

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan Dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, J. Arul Kumar berkata, tapak tanah tersebut telah diwartakan untuk tujuan perkuburan Islam di bawah kawalan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan tiada sebarang pertukaran mengenainya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tidak berlaku tuntutan terhadap tapak tanah perkuburan Islam di Taman Tasik Senangin, Lenggeng di sini kepada tanah perkuburan bukan Islam seperti didakwa segelintir pihak baru-baru ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan Dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, J. Arul Kumar berkata, tapak tanah tersebut telah diwartakan untuk tujuan perkuburan Islam di bawah kawalan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan tiada sebarang pertukaran mengenainya.

 

Jelasnya, tapak kubur seluas 10 hektar tersebut adalah tanah yang diserahkan oleh pemaju kepada kerajaan untuk tujuan perkuburan, iaitu salah satu syarat semasa membangunkan kawasan perumahan.

 

“Sehingga hari ini, tapak tersebut adalah untuk tujuan perkuburan Islam dan tidak berlaku sebarang pertukaran kepada bukan Islam,” katanya dalam kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

 

Tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, sebelum ini satu perbincangan telah diadakan untuk menyelesaikan isu sebuah tapak kubur Hindu yang terletak lebih kurang 200 meter daripada tapak perkuburan Islam yang telah diwartakan tersebut. 

 

“Tapak perkuburan Hindu tersebut berada di situ sebelum kawasan perumahan seluas lebih kurang 2,000 ekar ini dibangunkan oleh pemaju, iaitu sejak kawasan itu dikenali sebagai Ladang Lenggeng.

 

“Mengikut pelan perancangan kawasan perumahan tersebut, tapak kubur Hindu tersebut dikhususkan untuk kemudahan awam. Apabila kelulusan itu diberikan semasa kawasan itu dibangunkan sebagai kawasan perumahan maka isu tapak kubur Hindu tersebut perlu diselesaikan agar kemudahan-kemudahan awam dapat didirikan tanpa sebarang masalah,” katanya lagi.

 

Menurut Arul Kumar, sepatutnya pihak pemaju perlu menyelesaikan semua isu yang timbul dalam sesuatu tanah yang dikhususkan untuk kemudahan awam sebelum diserahkan kepada kerajaan.

 

“Kegagalan berbuat sedemikian menyebabkan hari ini kita terpaksa berhadapan dengan masalah seperti ini.

 

“Saya juga akan memastikan dalam penyelesaian isu tapak perkuburan Hindu di Taman Tasik Senangin Lenggeng ini tidak akan ada seinci tapak perkuburan Islam yang telah diwartakan tersebut dijadikan sebagai tapak perkuburan bukan Islam,” katanya lagi.

 

Sebelum ini media melaporkan penduduk di Bandar Tasik Senangin, Lenggeng dekat sini membantah tuntutan terhadap sebidang tanah di kawasan itu yang telah diwartakan sebagai tanah perkuburan Islam sebelum ini.

 

Wakil penduduk, Mustaqim Mustaza, 40, berkata, pihaknya mendapat maklumat terdapat permohonan untuk sebahagian daripada tanah itu dijadikan pula sebagai tanah perkuburan orang bukan Islam. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN