Tiada kelulusan pembersihan hutan di Bukit Tabur - MB - Utusan Malaysia

Tiada kelulusan pembersihan hutan di Bukit Tabur – MB

KEADAAN sebahagian kawasan hutan Bukit Tabur yang dibersihkan secara haram menimbulkan kegusaran awam PKGS itu bakal sudah pun menjadi Tapak Warisan Kebangsaan dan dalam proses untuk digazetkan oleh Unesco. - Gambar media sosial
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menegaskan tiada sebarang kelulusan aktiviti pembersihan tanah kawasan hutan diberikan dekat Bukit Tabur di Taman Melawati, Gombak.

Perkara itu dijelaskan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari selepas membuat semakan lanjut dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Pejabat Daerah Gombak susulan penularan sebuah jentolak di bukit berkenaan.

“Kerja-kerja tersebut tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri dan tidak mendapat kelulusan dari pihak berkuasa tempatan. 

“Penguatkuasa telah pun turun bagi menghentikan aktiviti tersebut dan menyita jentera yang terlibat,” ciapnya menerusi akaun Twitternya.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar memaparkan keadaan sebahagian kawasan hutan di Bukit Tabur yang ditarah oleh pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

Justeru, pengguna media sosial serta individu yang pernah mendaki bukit berkenaan mempersoalkan pihak berkuasa yang tidak menyedari aktiviti pembalakan itu apabila jengkaut turut digunakan untuk pembersihan hutan berkenaan.

Malah, berdasarkan penelitian terhadap gambar tersebut, kerja-kerja pembersihan itu tidak dilakukan dalam masa yang singkat sehingga terdapat laluan bertingkat di bahagian lereng bukit untuk laluan jengkaut.

Aktiviti pembersihan berkenaan membimbangkan kerana bukan sahaja boleh menimbulkan bencana banjir apabila hujan lebat, bahkan kawasan itu sedang dalam proses untuk digazetkan sebagai salah satu tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Kawasan yang dinamakan sebagai Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) dengan keluasan 210 lot tanah itu turut mendapat pengiktirafan oleh kerajaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 sebagai Tapak Warisan Kebangsaan.

Dalam pada itu, Amirudin turut menjelaskan, pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai keterbatasan dari segi jumlah penguatkuasa yang terhad dan kini tertumpu kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di premis dan sebagainya.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan aduan dari awam dan akan terus meningkatkan tahap penguat kuasaan,” katanya.

Terdahulu seorang pengguna Twitter dikenali Farhan meminta penjelasan daripada Amirudin berhubung kehadiran pihak kontraktor di Bukit Tabur berkenaan.

Ini seterusnya menimbulkan keraguan susulan pendaki pun tidak dibenarkan memasuki kawasan bukit itu berbanding jentera berat berkenaan dibenarkan masuk.

Bukit ini yang setinggi 396 meter merupakan antara lokasi pendakian paling digemari oleh para pendaki khususnya di Lembah Klang. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN