Thailand 'halal' ketum, penyeludupan terus meningkat - Utusan Malaysia

Thailand ‘halal’ ketum, penyeludupan terus meningkat

SURINA SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Keputusan kerajaan Thailand mengeluarkan ketum daripada senarai dadah berbahaya   dijangka mendorong aktiviti penanaman dan penyeludupan barang tersebut di negara ini rancak.

Ketum yang banyak diperoleh di Perlis dan Kedah dijual sekitar RM30 sekilogram untuk pasaran tempatan, namun dijual pada harga RM100 sekilogram di Thailand dan  boleh mencapai sehingga RM180 sekilogram apabila berlaku kekurangan penawaran tetapi permintaan yang tinggi.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis sebelum ini merampas 200 bungkusan hitam mengandungi daun ketum seberat kira-kira dua tan dianggarkan bernilai RM360,000 terapung di laut pada kedudukan 1.1 batu nautika barat daya Pulau Batu Layang.

Sindiket atau penyeludup juga terus licik apabila mereka menggunakan dron untuk memantau pergerakan bot penguat kuasa

IMBAS.. Surina Saad (dua dari kiri) melibat operasi menebang pokok ketum di Felda Mata Ayer, Padan Besar, Perlis.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI

Maritim Malaysia yang melakukan rondaan dan operasi di kawasan perairan ini sejak awal tahun ini.

Di sempadan darat pula, pihak penguat kuasa berdepan cabaran mengawal lorong-lorong tikus di kawasan seluas 44.55 kilometer (km) sempadan negara tidak berpagar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, penguatkuasaan kawalan di sempadan darat dan laut akan terus diperketatkan supaya aktiviti penyeludupan ini dapat dipatahkan.

Katanya, sungguhpun, terdapat permintaan yang tinggi, pihak penguatkuasa juga sentiasa mematahkan cubaan menyeludup keluar barang terlarang tersebut dengan pelbagai kejayaan rampasan oleh pihak Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Maritim Malaysia.

“Perlis sebenarnya adalah laluan untuk aktiviti penyeludupan ketum yang membawa daun dari Kedah ke Thailand kerana negeri ini tidak mempunyai kebun pokok kebun yang besar.

“Kalau ada dulu yang banyak di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), tetapi kita sudah pun tebang pokok-pokok tersebut pada tahun lalu dan pemantauan sentiasa dibuat agar tidak ada yang menanamnya semula,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, cabaran utama yang dihadapi pihak berkuasa untuk membenteras aktiviti penyeludupan ini adalah sempadan darat dengan 44.55 km sempadan negara Malaysia-Thailand yang tidak berpagar.

“Jadi, sudah tentunya banyak lorong-lorong tikus di kawasan sana dan kita akan bergantung kepada kekuatan serta kepakaran PGA untuk menjaga di kawasan tersebut.

“Selain itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim sebelum ini telah mengumumkan bahawa 16 set dron berkuasa tinggi telah diluluskan untuk penggunaan meningkatkan kawalan keselamatan terutamanya memantau kawasan sempadan seluruh negara yang tidak berpagar dan dipercayai menjadi lorong-lorong tikus.

“Oleh itu, kita berharap dengan penggunaan teknologi ini dapat membantu membuat kawalan dan mencegah aktiviti penyeludupan dengan lebih efektif,” ujarnya.

Semalam, media melaporkan Thailand mengeluarkan ketum, yang sekian lama digunakan sebagai ubat herba, daripada senarai dadah berbahaya, sekali gus membolehkannya digunakan secara terbuka.

Ketum atau nama saintifiknya Mitragyna speciosa merupakan sebahagian daripada spesies pokok kopi yang sering digunakan di Asia Tenggara dan Papua New Guinea sebagai ubat alternatif merawat penyakit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Razarudin Husain dalam satu laporan berkata, permintaan daun ketum di negara ini dijangka meningkat susulan tindakan kerajaan Thailand tersebut.

Menurutnya, aktiviti penyeludupan daun tersebut juga dijangka meningkat kerana permintaan yang bertambah.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN