PASIR PUTEH: Orang ramai tidak perlu menjadi ‘hakim’ kepada kes gangguan seksual melibatkan seorang pendakwah terkenal susulan penyebaran video dan mesej lucah menerusi media sosial, baru-baru ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, masyarakat juga perlu berhenti menyebar aib mana-mana individu kerana boleh menjadi fitnah jika tuduhan itu tidak benar.
Menurut beliau, sekiranya kesalahan itu benar-benar dilakukan dengan bukti sahih, ia masih tidak sepatutnya ditularkan dalam media sosial bagi mengelak dosa mengumpat dan membuka aib yang sememangnya ditegah Islam.
“Hentikan kutuk-mengutuk dan ejekan selagi mana kes ini masih dalam proses siasatan. Jangan jadikan media sosial sebagai platform menambah dosa sebaliknya, serah tugasan itu kepada pihak polis untuk membuat siasatan dan tunggu mahkamah mengadilinya.
“Pertembungan pendapat dalam media sosial tidak perlu dipanjangkan. Taatlah pada tuntutan agama yang melarang kita mendedahkan keaiban saudara sendiri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serahan Sumbangan Qasih Inspirasi Yapiem di Tok Bali, di sini hari ini.
Seramai 300 asnaf dalam kalangan nelayan setempat menerima agihan daging lembu segar secara pandu lalu dalam majlis yang turut dihadiri Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Khuzaimah Husain.
Mengenai kes Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, Ahmad Marzuk berkata, prosiding pendakwaan yang tertangguh akan diteruskan sebaik sahaja usahawan lelaki terkenal itu dibawa pulang ke tanah air.
“Tindakan susulan termasuk bimbingan dan kaunseling kepada beliau akan diteruskan mengikut proses dan kesesuaian masa.” katanya. -UTUSAN ONLINE