KAMPAR: Seorang lelaki yang tular kerana bertindak agresif sambil menghayun sabit dan parang di hadapan Balai Polis Gopeng semalam, direman empat hari hari ini.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, perintah reman terhadap suspek berusia 61 tahun itu bermula hari ini hingga Ahad depan.
“Suspek direman selama empat hari dari 9 hingga 12 September ini,” katanya di sini hari ini.
Media semalam melaporkan, lelaki yang mengamuk dengan memanjat bumbung kereta peronda polis itu berjaya ditahan setelah terjatuh di atas jalan akibat semburan air oleh bomba.
Ujian air kencing ke atas lelaki itu mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan heroin selain mempunyai 16 rekod lampau bersabit kes jenayah dan narkotik.
Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Terdahulu, beberapa rakaman video memaparkan kejadian itu tular di media sosial selepas dirakam orang awam di sekitar lokasi kejadian.
Berdasarkan rakaman tersebut, lelaki yang tidak berbaju dan hanya memakai seluar jeans itu dilihat berdiri di atas bumbung kereta peronda polis sambil menjerit dan menghayun galah bersabit. – UTUSAN ONLINE