Sukar Warisan perkukuh kedudukan di Semenanjung - Utusan Malaysia

Sukar Warisan perkukuh kedudukan di Semenanjung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sentimen rakyat yang lebih gemar memilih parti yang dipimpin orang Semenanjung Malaysia akan menjadi halangan utama kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk mengukuhkan kedudukan parti itu di Semenanjung.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg berkata, itu adalah trend yang boleh dilihat sekarang iaitu pengundi di sana akan memilih parti yang dipimpin oleh orang Semenanjung sendiri.

Malah, Warisan tidak akan mempunyai masa yang mencukupi untuk mengukuhkan kedudukan di Semenanjung Malaysia memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan bagi tempoh kurang dua tahun.

ROMZI ATIONG

Beliau berkata, biarpun konsep ‘Unity’ atau perpaduan yang diperjuangkan Warisan merupakan pendekatan yang baik bagi mengenepikan politik perkauman namun, konsep itu tidak semestinya mampu mengukuhkan kedudukan parti tersebut.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh memandang rendah dengan keupayaan dan pengalaman Warisan yang mungkin mempunyai kaedah tersendiri bagi membawa perjuangan Unity ini,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama Warisan dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Romzi berkata, kerjasama baharu ini semestinya memberi alternatif kepada pengundi untuk memilih parti yang boleh mengangkat suara mereka.

Timbalan Dekan (Penyelidikan & Khidmat Komuniti) UMS ini berkata, sekarang ini terpulang kepada Warisan-Muda untuk memastikan sokongan pengundi dapat diperkukuhkan.

Ketika ini, dua khemah besar telah dibentuk antara parti kerajaan dan parti pembangkang iaitu gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) manakala, di blok pembangkang pula terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Sementara itu, Warisan, Muda dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) masih belum menyertai mana-mana gabungan.

Pada Selasa, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyatakan parti itu bakal membentuk kerjasama politik baharu bersama Muda yang diterajui Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mohd. Shafie berkata, kerjasama politik ini dijangka akan dilancarkan sedikit masa lagi dan ia sejajar dengan hasrat Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia pada tahun ini.

Menurutnya, parti itu sudah mempunyai beberapa tokoh yang akan menjadi penaja di kawasan tertentu di Semenanjung Malaysia.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN