RANTAU PANJANG: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 2.15 tan daun ketum yang disimpan dalam bangsal, garaj dan ruang tamu sebuah rumah di Kampung Air Merbo, Tanah Merah semalam.
Daun ketum tersebut dianggarkan bernilai RM64,500 dan dirampas pada pukul 7 petang semalam selepas anggota PGA menjalankan intipan selama sejam di rumah tersebut.
Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Deputi Superintendan Ku Majidin Che Ku Jusoh berkata, intipan dilakukan susulan maklumat diterima pihaknya mengenai kegiatan penyeludupan daun ketum di lokasi terbabit.
Menurutnya, dalam tempoh sejam intipan, beberapa buah kenderaan sama turut didapati berulang-alik masuk dan keluar di kawasan itu.
“Ketika anggota PGA menyerbu rumah tersebut, beberapa lelaki bertindak melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.
“Pemeriksaan lanjut dalam sebuah bangsal di belakang rumah, bahagian garaj dan ruang tamu telah menjumpai plastik lutsinar mengandungi daun ketum,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kata beliau lagi, selain daun ketum, anggota PGA turut merampas lima kereta, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan empat motosikal yang dianggarkan bernilai RM178,750.
“Selain itu, kita turut menjumpai lima unit telefon bimbit pelbagai jenama yang ditinggalkan suspek semasa melarikan diri.
“Siasatan mendapati rumah tersebut dipercayai menjadi pusat transit sebelum daun ketum diseludup ke negara jiran,” katanya.
Tambahnya, kesemua barang kes dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. -UTUSAN ONLINE










