PUTRAJAYA : Jabatan Imigresen (JIM) memaklumkan jumlah stok dokumen terkawal bagi Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Malaysia (LKM) dijamin mencukupi sehingga akhir tahun ini.
JPJ menerusi kenyataan berkata, baki stok dokumen itu mencukupi khususnya bagi semua lokasi premis rakan-rakan strategik JPJ di seluruh negara.
Menurutnya, pada bulan lalu, JPJ membekalkan 450,000 dokumen LKM motokar, 8400 LKM dan 6,000 LLM kepada MyEG.
“Sejumlah 385,000 LKM motokar, 287,999 LKM motosikal dan 300,000 LMM pula dibekalkan kepada Pos Malaysia.
“Selain itu, sejumlah 5,500 dokumen LKM motokar dibekalkan kepada Puspakom,” katanya.
Menurut kenyataan itu, setakat semalam, MyEG masih mempunyai 100,827 LKM Motokar, 10,843 LKM motosikal dan 26,648 LMM baki stok dokumen.
Manakala Pos Malaysia pula masih mempunyai 365,518 LKM motokar, 142,871 LKM motosikal) 789,274 LMM stok dokumen.
Sementara itu, baki dokumen di Puspakom pula adalah 11,950 (LKM motokar).
Semalam, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim mengadakan lawatan mengejut di Pejabat Pos Malaysia, Cawangan Seri Kembangan, Serdang, Selangor bagi melihat pengoperasian urus niaga JPJ di Kaunter Pejabat Pos Malaysia.
Zailani turut meninjau aspek pengedaran dan pembekalan stok dokumen LKM dan LLM bagi memastikan ianya berjalan dengan cekap dan lancar. -UTUSAN ONLINE