[SIDANG DUN KEDAH] GLC buat kerja 'senang' jual kuota balak - Utusan Malaysia

[SIDANG DUN KEDAH] GLC buat kerja ‘senang’ jual kuota balak

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor mendedahkan terdapat dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri ini yang membuat kerja ‘senang’ dengan menjual kuota pembalakan diterima setiap tahun, kepada pihak ketiga.

Beliau berkata, syarikat terlibat malah turut berhutang premium kepada Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) Kedah dengan nilai cukup besar mencecah RM38 juta.

“Saya masuk jadi Menteri Besar saja, terus ada masalah dengan ada GLC yang menjadi beban. Ada GLC kononnya setiap tahun dapat kuota pembalakan tetapi kuota untuk tahun ini sudah habis, tahun depan dan tahun seterusnya pun habis juga.

“Ada GLC di bawah ‘dagu’ saya berhutang premium dengan JPN Kedah sebanyak RM38 juta. Entah berapa puluh tahun punya kuota mereka dah jual atas alasan projek ladang hutan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ketika penggulungan Titah Diraja pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.

Dedahnya lagi, mengikut syarat ditetapkan, Kedah sepatutnya dibenarkan membuka ladang hutan seluas kira-kira 15,000 hektar berbanding keluasan keseluruhan hutan sebanyak 106,000 hektar.

“Dalam dasar ladang ganti perhutanan, kita dibenarkan buka 15 peratus daripada jumlah keseluruhan hutan iaitu seluas kira-kira 15,000 hektar. Tetapi apabila saya masuk jadi Menteri Besar, negeri ini sudah ada kelulusan 22,000 hektar rancangan ladang hutan.

“Selain itu, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia menetapkan hanya tujuh spesiEs pokok dibenarkan ditanam di ladang hutan untuk bekalan kayu negara. Tetapi ada pula ladang hutan yang ditanam pokok durian jenis Musang King dan sebagainya,” katanya.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Muhammad Sanusi menjelaskan, terdapat beberapa GLC yang melakukan perbuatan itu namun satu daripadanya cukup ketara berbuat demikian.

Justeru, katanya, GLC tersebut yang disifatkan cukup dekat dengan posisi Menteri Besar termasuk kepimpinan sebelum ini, merupakan antara yang akan melalui transformasi dalam tempoh terdekat seperti pernah dinyatakan sebelum ini.

“Kerajaan negeri berada dalam keadaan cukup terikat. Mereka sudah jual kuota dengan transaksi sudah berlaku tetapi kawasan pembalakan itu masih belum ada.

“Kalau dibatalkan, kita kena bayar semula atau masuk mahkamah. Jadi tak mustahil kita nanti terpaksa juga beri kelulusan balak pada zaman saya dan itu sudah tentu dijadikan modal politik oleh pihak-pihak lain untuk menghentam kita,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN