Semangat kerjasama sejagat melalui ‘Keluarga Besar Dunia’ - Utusan Malaysia

Semangat kerjasama sejagat melalui ‘Keluarga Besar Dunia’

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia menggariskan tujuh perkara asas perlu diberi perhatian masyarakat dunia dalam menangani pelbagai isu kemanusiaan dan jurang ketidakseimbangan global.

 

 Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malah menyarankan komuniti sejagat agar mengenepikan segala perbezaan demi mewujudkan ‘Keluarga Besar Dunia’ yang berkekalan.

 

“Inilah semangat yang disemai kami di Malaysia dengan merujuk diri semua sebagai Keluarga Malaysia,” katanya pada Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang berlangsung secara maya, malam  ini.

 

Ia merupakan penampilan sulung beliau dalam sesi Debat Umum ke-76 bersempena UNGA di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), New York, Amerika Syarikat secara maya.

 

Sesi khas itu bertemakan ‘Membangun ketahanan melalui harapan – pulih daripada Covid-19, bina semula secara lestari, bertindak balas keperluan planet, menghormati hak manusia dan menghidupkan kembali PBB’.

 

Menjelaskan lebih lanjut, beliau turut menzahirkan komitmen penuh Malaysia dalam mengurus, menangani dan memulihkan diri daripada pandemik maut itu yang wajar diperangi bersama.

 

“Misi kita semua adalah sama, tiada yang selamat sehinggalah semua selamat. Justeru, ayuh tolak perbezaan pendapat dan kita akan melindungi nyawa dan kehidupan,” jelas Ismail Sabri.

 

Isu Covid-19 antara perkara pertama disentuh beliau berhubung diplomasi kesihatan yang memerlukan kesungguhan pelbagai negara berkongsi amalan terbaik bagi pemulihan pantas.

 

Malangnya ujar beliau, realiti adalah sebaliknya apabila bekalan vaksin yang sepatutnya tiada diskriminasi, namun dibolot negara kaya manakala banyak negara miskin jauh ketinggalan.

 

Sedangkan sebelum Covid-19, komuniti sejagat pernah berdepan banyak wabak serius yang menyaksikan kerjasama global merentasi sempadan dan penyelesaian sosioekonomi pantas.

 

“Kerjasama teknologi dan pengetahuan amat diperlukan aspek kesihatan awam wajar dilayan seperti amalan murni global berbanding dikuasai negara tertentu secara eksklusif,” katanya.

 

Ismail Sabri turut menyentuh perkara kedua berhubung ketidaksamaan pertumbuhan dan usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ditetapkan PBB menjelang 2030.

 

Laluan ke arah itu bukan mudah dimulakan dan memerlukan usaha berterusan apatah lagi kemunculan Covid-19 membantutkan perkembangan banyak negara yang bergelut bangkit.

 

Secara jujur, dunia disifatkan semakin jauh menggapai agenda SDG, tetapi beliau optimis mengajak negara yang terkesan untuk belajar cara Malaysia cuba keluar daripada kemelut itu.

 

“Tahun lalu, Keluaran Dalam Negara Kasar kami menguncup 5.6 peratus, terburuk dalam tempoh 20 tahun pasca krisis kewangan Asia, namun Malaysia tidak berputus asa,” katanya.

 

 Pelan Pemulihan Negara diperkenalkan dan hasilnya kata Ismail Sabri, ekonomi Malaysia mula bangkit, malah dalam masa sama, berjaya melonjakkan kadar imunisasi Covid-19.

 

 Berhubung perkara perubahan iklim dan perlucutan senjata nuklear, beliau mengulangi iltizam Malaysia menjayakan segala matlamat ditetapkan demi kepentingan masyarakat sejagat.

 

 Bagaimanapun, penglibatan negara maju harus dipertanggungjawabkan dalam menyediakan sumber kewangan dan pemindahan teknologi sejajar misi kelestarian alam sekitar global.

 

Malaysia juga luah kekesalan perlumbaan senjata nuklear masih dibelanja negara tertentu berbanding usaha menyelamatkan nyawa manusia dibelenggu krisis kesihatan,” tegasnya.

 

Sehubungan itu ujar Ismail Sabri, Malaysia amat menyambut baik pelaksanaan Perjanjian Pengharaman Senjata Nuklear awal tahun ini dan berharap usaha tersebut terus dipatuhi.

 

Menyentuh perkara hidup bersama secara aman dan gencatan senjata, Malaysia percaya amalan hidup harmoni dalam kepelbagaian majmuk harus integrasi dan dibina lebih kukuh.

 

Beliau memberi contoh kehidupan rakyat Malaysia sendiri saling hormat-menghormati dan menjadi tulang belakang kukuh negara apabila konsep itu seumpama sebuah keluarga besar.

 

Tidak ketinggalan perkara mengenai situasi semasa krisis di Palestin, Myanmar dan Afghanistan yang menurutnya, wajar diberi perhatian khusus kerana ia ada kesan besar kepada dunia.

 

Akhir sekali, Perdana Menteri mengulangi gesaan pembaharuan Majlis Keselamatan PBB dan UNGA agar mencerminkan kematangan dan senario sejagat hidup bersama lebih selamat. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya