PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat laporan polis terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan mendakwa saman tuntutan cukai yang dikenakan kepadanya bermotifkan politik.
Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa, pegawai-pegawai LHDN dan ahli-ahli politik tertentu telah menyalahgunakan kuasa dan menggunakan dokumen palsu dengan tujuan menganiaya dirinya.
Katanya, tindakan itu sekaligus bercanggah dengan Seksyen 167, Seksyen 192, Seksyen 196, Seksyen 197 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan jenayah berkenaan.
“Saya telah menerima banyak maklumat tentang denda cukai tambahan yang dikenakan terhadap saya. Ada yang datang menemui saya memohon maaf dan memberitahu bahawa kes cukai tambahan RM1.7b ini sebenarnya telah disiasat tiga kali sejak 2018.
“Malah mereka sendiri akui, setelah tiga kali siasatan itu dijalankan dengan penuh teliti, mereka tidak menemui apa-apa kesalahan yang dilakukan saya dan tiada penalti cukai yang patut dikenakan terhadap saya.
“Namun, selepas tiga kali siasatan itu selesai dan hasilnya jelas saya tidak melakukan sebarang kesalahan mengikut undang-undang, ada pegawai tertinggi LHDN yang mengarahkan untuk teruskan penalti cukai terhadap saya kerana telah diarahkan oleh ahli-ahli politik tertentu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya semalam.
Kerajaan sebelum ini memfailkan saman terhadap Najib pada Jun 2019 bagi menuntut lebih RM1.69 bilion dengan kadar faedah lima peratus setiap tahun bermula dari tarikh penghakiman serta kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Beliau dilaporkan tidak mengisytiharkan kira-kira RM4 bilion dalam tempoh tersebut termasuk RM2.6 bilion yang didakwa penyiasat Amerika Syarikat berasal dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menerusi hantaran sama semalam, Najib mendakwa beliau dikenakan cukai pendapatan tambahan walaupun telah mengembalikan RM2.6 kepada penghantar empat bulan selepas menerima wang tersebut yang didakwa adalah sumbangan dari Raja Arab Saudi.
Antara lain, dakwa Najib, beliau dikenakan cukai pendapatan tambahan ke atas wang yang dipindah dari akaun bank atas namanya ke satu lagi akaun bank atas nama sama.
Justeru, beliau mempelawa semua pihak terutama juruaudit cukai bagi memeriksa fail cukai pendapatan yang telah dikemukakan kepada mahkamah.
“Saya juga akan menulis surat kepada pihak LHDN bagi memberi kebenaran kepada mereka untuk dedahkan fail cukai pendapatan saya bagi tahun-tahun berkenaan kepada pihak yang berminat supaya mereka boleh lihat sendiri keabsahaan denda cukai tambahan terhadap saya yang langsung tidak masuk akal dan melangkaui undang-undang,” katanya.- UTUSAN ONLINE










